Facebook 'Down' 6 Jam, Telegram Pula Raih 70 Juta Pengguna Baru!

GAYA HIDUP
October 07, 2021 - 05:11 PM


Akibat gangguan yang dialami oleh Facebook pada Isnin lepas hingga menyebabkan kerugian berbilion dolar kepada pengasasnya, Mark Zuckerberg menjadikan satu lagi aplikasi penghantaran mesej popular di dunia iaitu "Telegram" meraih lebih 70 juta pengguna baru ketika masalah tersebut berlaku.

Menurut pengasas Telegram, Pavel Durov peningkatan mendadak jumlah pengguna itu berlaku ketika masyarakat seluruh dunia terpinga-pinga akibat terputus hubungan bagi menghantar mesej selama hampir 6 jam -- menyebabkan mereka beralih ke Telegram.

Sebelum ini, Facebook menyatakan gangguan tersebut telah menyebabkan 3.5 bilion penggunanya tidak dapat mengakses khidmat seperti WhatsApp, Instagram dan Messenger, adalah disebabkan kesilapan pada perubahan konfigurasi.

"Kadar pertumbuhan harian Telegram melebihi kebiasaan berkali ganda, dan kami menerima lebih 70 juta pelarian daripada platform lain dalam sehari," tulis Durov di saluran Telegramnya.

Pengasas Telegram, Pavel Durov

Durov berkata sebilangan pengguna di benua Amerika mungkin mengalami khidmat yang lebih perlahan disebabkan berjuta-juta orang bergegas untuk mendaftar dalam masa yang sama. Namun khidmat tersebut berfungsi seperti biasa bagi kebanyakan orang.

Ketua antimonopoli Kesatuan Eropah, Margrethe Vestager berkata, gangguan itu menunjukkan akibat bergantung hanya kepada beberapa pemain utama saja dan menekankan perlunya lebih banyak persaingan.

Rusia menyatakan kejadian itu menunjukkan bahawa Moscow bertindak dengan tepat untuk mengembangkan platform internet dan rangkaian sosialnya sendiri.

Gangguan WhatsApp selama hampir enam jam pada Isnin lalu menjejaskan perdagangan pelbagai aset dari mata wang kripto hingga ke minyak Rusia, menurut para pemain pasaran. Bagaimanapun peralihan pantas ke wadah alternatif seperti Telegram menghadkan gangguan yang teruk. 

Sumber: Berita Mediacorp Sg

Destination: