Jangan Pendam Seorangan! Luahkan Pada Kawan Atau Keluarga Jika Tertekan Ketika PKP

GAYA HIDUP
August 26, 2021 - 08:30 PM


PKP yang tidak berpenghujung... mesti banyak meninggalkan kesan negatif pada sebahagian kita kan? 

Kehidupan kini kian mencabar, dan disebabkan aktiviti yang mampu dilakukan bagi mengurangkan tekanan adalah amat terhad, tekanan menjadi tidak tertanggung getirnya sehingga stres sehingga yang menyebabkan kemurungan dan akhirnya alami tekanan mental.

Banyak stigma yang timbul apabila berbincang tentang sakit mental ini. Malah apabila seseorang mengalami masalah sakit mental pula, ramai yang sering mengaitkannya dengan perspektif negatif iaitu ‘gila’.

Sebenarnya apa maksud sakit mental? Adakah mengalami pesakit mental berpeluang untuk sembuh dan menjalani kehidupan normal seperti orang lain?

Anita Abu Bakar selaku pengasas dan presiden Mental Illness Awareness & Support Association (MIASA) yang turut pernah melalui situasi getir sakit mental dalam hidupnya, ada menjelaskan mengenai definisi sakit mental ini.

“Persepsi negatif penyakit mental dalam kalangan masyarakat adalah ‘gila’ dan berbahaya... Penyakit mental berlaku apabila ia mengganggu fungsi harian dan tidak dapat berfungsi sebagai seorang individu normal.

"Seperti tidak dapat membuat keputusan dengan baik, tidak dapat menangani stress dan sebagainya. Namun perkara positifnya, penyakit mental ia boleh sembuh, ada rawatan berkesan namun memerlukan pendekatan yang menyeluruh.” jelas Anita.

Tanda-tanda awal penyakit mental

Individu yang mengalami penyakit mental mempunyai simptom dan tanda-tanda awal yang perlu diambil berat, dan tanda-tanda pula bergantung pada keadaan individu tersendiri. Antaranya:

1. Perubahan pola tidur (kurang tidur/terlebih tidur)

2. Kurang makan atau terlebih makan.

3. Tidak suka bersembang dengan kawan-kawan dan keluarga.

4. Suka mengasingkan diri.

5. Kerap tak sihat, seperti demam, batuk, sakit kepala.

Tekanan perlu diluahkan kepada orang lain!

Jelas Anita lagi, sebenarnya apabila mengalami stres dan tekanan, adalah penting untuk mendapatkan bantuan dan meluahkannnya pada orang terdekat yang boleh dipercayai kerana ianya dapat membantu mengurangkan tekanan sekaligus dapat memberi perspektif berbeza dalam masalah dan tekanan yang dialami.

“Apabila rutin seharian tidak dapat lakukan dengan baik, kerap rasa stres minimum 2 minggu seeloknya melakukan sesuatu dan mendapatkan pertolongan. Ia tak semestinya kena berjumpa dengan pakar psikitari, namun mungkin seperti meluahkan dengan individu yang boleh dipercayai seperti rakan dan keluarga juga boleh membantu bagi mengurangkan tekanan dan stres.

“Apabila berkongsi dan meluahkan dengan orang lain, mungkin kita dapat melihat kehidupan atau masalah kita dari perspektif yang berbeza. Malah mungkin individu tersebut dapat memberikan jalan keluar pada permasalahan kita dan solusi yang dapat dicapai bersama.” ujar Anita.

Jadi, korang yang mengalami tekanan sepanjang PKP ini ataupun secara amnya, jangan hadap berseorangan okay?