KKM Perkenalkan Laman CovidNow, Data Lebih Telus Inisiatif Hidup Dengan Virus Endemik

GAYA HIDUP
September 09, 2021 - 08:39 PM


Korang dah bersedia untuk hidup dengan virus endemik Covid19? KKM kini sediakan data lebih telus untuk bantu semua kekal selamat. 

Sebelum tu, kalau korang belum tahu maksud endemik, korang boleh baca di sini

Kementerian Kesihatan melancarkan laman sesawang baharu dikenali sebagai CovidNow dalam usaha menyediakan data yang lebih telus untuk dikongsi bersama rakyat. Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, laman khusus tersebut malah sudah pun boleh dilayari bermula pukul 6 petang semalam menerusi alamat https://COVIDNOW.moh.gov.my.

“Data harian terkini pula akan mula tersedia selepas pukul 12 tengah malam setiap hari seiring dengan hasrat saya untuk lebih telus dalam perkongsian maklumat yang terbaharu,” katanya.

Sebelum ini, kementerian itu memuat naik data berbentuk granular ke dalam aplikasi hos penyedia perisian Internet dimajukan firma ternama GitHub Inc. berpusat di Amerika Syarikat termasuk data Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimuat naik oleh pihak Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksinasi (JKJAV) dan sentiasa ditambah baik.

Mengulas lanjut, Khairy menambah, Malaysia antara negara terawal di dunia yang berkongsi data secara terbuka kepada rakyatnya bagi memberi kefahaman situasi wabak berkenaan. Namun, paparan data disediakan GitHub itu dirasakan lebih sesuai untuk mereka yang mahir dengan sains data.

Justeru ujarnya, laman sesawang baharu CovidNow akan memaparkan data utama yang lebih mudah difahami dan boleh diakses oleh masyarakat agar mesej disampaikan lebih baik dan pada masa sama, beliau berharap usaha itu akan memberi kesedaran tinggi kepada rakyat memahami senario semasa Covid-19 dalam negara dan melakukan perubahan tingkah laku.

Usaha berterusan ini jelas Khairy, dengan mempertingkatkan amalan rutin prosedur operasi standard (SOP) agar boleh memasuki fasa baharu hidup bersama virus sebagai endemik.

“Set data ditambah melibatkan perincian kes baharu dan kematian yang turut ada status imunisasi dan jenis vaksin diterima pesakit atau si mati serta data kapasiti katil hospital,” jelasnya.

Pelaporan yang lebih tepat juga melibatkan kes kematian apabila masa dan tarikh sebenar kejadian akan dilaporkan pada hari pertama sebelum bedah siasat dan pengesahan kematian. Justeru, beliau berharap tidak berlaku lagi pelaporan tertunggak kes lama yang disebabkan birokrasi lambat disahkan seperti sebelum ini sedangkan ia tidak menggambarkan situasi terkini.

Beliau memberi contoh kes di Selangor dan Kuala Lumpur yang direkodkan amat tinggi namun apabila diteliti semula ia adalah berpunca daripada kelewatan pengesahan prosedur klinikal.

“CovidNow dijamin memaparkan data sebenar daripada sumber utama serta disiarkan secara berstruktur dan berfokus yang dikemas kini berbanding imej statistik semata-mata,” tegas Khairy.