KP Kesihatan 'Sound' Noh Hujan Pegang Rokok Di KLFW
GAYA HIDUPTindakan selamba vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh yang memegang rokok ketika memperagakan pakaian sewaktu Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2022 baru-baru ini -- mengundang teguran daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Dalam ciapan di Twitter rasmi beliau, Dr. Noor Hisham Abdullah menyifatkan perbuatan tersebut menunjukkan contoh yang tidak baik kepada masyarakat sekeliling terutamanya kanak-kanak dan remaja.
“KKM memandang serius terhadap isu berkaitan artis yang menonjolkan tingkah laku seperti merokok dan menghisap vape di khalayak ramai.
Perbuatan ini menunjukkan contoh yang tidak baik kepada masyarakat sekeliling terutama kepada kanak-kanak dan remaja,” ujarnya.
KKM memandang serius terhadap isu berkaitan artis yang menonjolkan tingkah laku seperti merokok dan menghisap vape di khalayak ramai. Perbuatan ini menunjukkan contoh yang tidak baik kepada masyarakat sekeliling terutama kepada kanak2 & remaja. pic.twitter.com/xczzeOxaYI
— Noor Hisham Abdullah (@DGHisham) August 23, 2022
Justeru, setiap lapisan masyarakat diseru supaya membantu usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan perbuatan merokok bukan budaya yang wajar dicontohi.
“KKM menyeru setiap lapisan masyarakat termasuk artis dan selebriti untuk membantu usaha KKM bagi memastikan perbuatan merokok dapat dijadikan sebagai satu budaya yang tidak diterima lagi dalam kalangan masyarakat,” katanya lagi.
Baru-baru ini, tular di media sosial tindakan Noh ‘catwalk’ sambil memegang dan meletakkan rokok ke bibirnya pada KLFW 2022 di Pavilion Kuala Lumpur.
Tindakan kurang sopan Noh itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya kurang senang dengan aksi tersebut.