Laluan Denai Unik Dengan View ‘Shy Tree Canopy’, Tarikan Pelancongan Sukan FRIM Kepong
GAYA HIDUPDi Malaysia tidak banyak sebenarnya lokasi untuk kita beriadah yang betul-betul di bawah hutan hujan tropika -- di mana suasananya redup, dingin dan menyegarkan pengunjung.
Semua adalah disebabkan oleh pembangunan serta pemodenan semasa memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara pesat membangun.
Lebih-lebih lagi di ibu kota Kuala Lumpur, lokasi yang mempunyai hutan hujan tropika sangat terhad -- tetapi korang jangan tak tahu bahawa sebenarnya masih ada sebuah tempat yang menawarkan tarikan 'shy tree canopy' yang cukup menakjubkan.
Lokasinya adalah di Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) yang terletak di Kepong.
Orang ramai yang berkunjung ke Hutan FRIM ini bukan sahaja berpeluang menikmati pemandangan unik ‘shy tree canopy’ -- bahkan mereka juga dapat merasai pengalaman melalui jambatan gantung dan merasai kesejukan air sungai yang jernih.
Disebabkan kelestarian alam yang masih terpelihara di FRIM ini, tidak hairanlah lokasi berkenaan sering menjadi tumpuan pengunjung yang ingin menjalani gaya hidup sihat dengan bersenam, melakukan aktiviti sukan serta beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan.
Malah, keistimewaan laluan denainya yang mencabar stamina juga membuatkan FRIM baru-baru ini menjadi lokasi penganjuran acara larian yang dikenali sebagai KL Sundown.
Jika kali pertama penganjuran KL Sundown memilih Cameron Highlands yang sememangnya terkenal dengan laluan trek larian yang mencabar -- tahun ini Hutan FRIM terpilih memandangkan lokasinya juga tidak kurang hebatnya.
Penganjur acara larian berkenaan, Bolt Event (Bolt) bersama rakan kerjasama strategik, Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM), Tourism Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) optimis bahawa FRIM boleh dipromosikan sebagai tarikan pelancongan sukan tempatan baru yang mampu menarik pengunjung dari luar negara.
Buktinya menerusi KL Sundown 2023 -- seramai 500 peserta larian membabitkan lima negara iaitu Indonesia, Singapura, Jepun, Filipina dan Thailand berkumpul di FRIM bagi mencuba sendiri laluan denai larian yang cukup mencabar dan unik.
Pengarah Media dan Komunikasi Bolt, Azlihana Abdul Rahim berkata, Sundown adalah siri kedua diadakan iaitu pada kali pertama bertempat di Cameron Highland, Cameron Sundown pada 2022 dan pada tahun ini acara itu diadakan di FRIM.
Jelasnya, KL Sundown yang diadakan di FRIM mempunyai keunikan tersendiri kerana terdapat hutan dan laluan denai unik yang amat popular dalam kalangan pelari denai tempatan.
“KL Sundown yang diadakan di FRIM adalah acara yang dinantikan oleh peminat larian denai tempatan dan luar negara kerana trek denai di kawasan itu yang sudah lama tidak dibuka kepada orang ramai.
“Hutan FRIM juga terkenal dengan ‘shy tree canopy’ yang sebenarnya laluan denainya amat mencabar untuk diterokai dan apabila kita menganjurkan acara ini, ia mendapat sambutan daripada pelari tempatan dan luar negara kerana mereka ingin menikmati sendiri laluan di sebalik pemandangan 'shy tree canopy' itu,” katanya.
Azlihana berkata, selain daripada acara larian itu pengunjung juga dapat melihat tarikan yang terdapat di dalam FRIM itu sendiri seperti jambatan gantung dan air sungai yang jernih.
“Jadi acara ini bukan sekadar sebuah kejohanan larian semata-mata kerana kita ingin mengangkat produk pelancongan di Lembah Klang khasnya kepada peminat larian yang datang dari seluruh Malaysia dan luar negara.
“Kami juga sebagai penganjur mendapat maklum balas positif daripada peserta yang melihat lokasi larian di FRIM sememangnya menarik dan mempunyai cabaran tersendiri meskipun hanya sejauh 8.6 kilometer (KM) yang dibenarkan oleh FRIM untuk kegunaan perlumbaan kali ini,” katanya.
Tambahnya, KL Sundown juga adalah inisiatif yang dilaksanakan oleh Bolt bersama rakan strategiknya untuk mendidik masyarakat bagi mencintai alam semula jadi dan memulihara alam sekitar.
“Sepanjang berlangsungnya acara ini kami membenarkan pelawat dan peserta untuk berkhemah di perkampungan pertandingan dan mereka boleh menikmati keindahan serba hijau.
“Sebagai penganjur, kami amat menitik beratkan kebersihan kawasan ini dengan memastikan peserta dan pengunjung membersihkan kawasan sekitar perkhemahan mereka,” katanya.
Bercerita mengenai KL Sundown, katanya, acara itu menawarkan cabaran ketahanan endurance kepada peserta kerana terdapat dua format dipertandingkan iaitu enam dan 12 jam yang mana pemenang akan dikira mengikut jumlah pusingan terbanyak di dalam tempoh itu.