CULTRA 2023: Dari Bercuti Santai, Cameron Highlands Kini Jadi Port Pelari Ultra Dunia Cabar Kemampuan

GAYA HIDUP
June 23, 2023 - 05:41 PM


Jika sebelum ini kita hanya tahu bahawa Cameron Highlands, salah satu pusat peranginan tanah tinggi yang popular di Pahang sering menjadi lokasi percutian keluarga dan berbulan madu kerana suasananya yang sejuk dingin serta dikelilingi ladang teh juga tanaman sayur dan buah strawberi.

Tetapi siapa sangka Cameron kini menjadi tumpuan dan port bagi penganjuran sukan larian Ultra disebabkan kelebihan struktur tanah dan laluan semulajadinya yang berbukit, berhutan, berteres ladang teh serta mempunyai denai yang mencabar kepada kumpulan yang aktif dengan sukan larian.

Buktinya kalau korang nak tahu, Cameron sebenarnya telah 6 tahun menjadi lokasi bagi pertandingan larian Cameron Ultra-Trail atau singkatannya CULTRA.

Menjadi acara pertandingan larian dengan laluan paling indah dan mempesonakan di Cameron Highlands seperti masuk ke dalam Mossy Forest -- tidak hairanlah setiap kali penganjuran CULTRA, ia telah menarik minat ribuan pelari dari dalam dan luar negara serta menjadi event yang bertaraf antarabangsa.

Tahun ini CULTRA yang telah masuk edisi ke-6 penganjurannya akan diadakan pada 14 hingga 16 Julai 2023 dengan 5 kategori jarak iaitu bermula 4 kilometer (km) (beginner), 14km, 30 km, 60 km dan 100 km.

Tahun lepas, bagi kategori 100km diungguli oleh pelari dari Jepun, Hisashi Kitamura yang berjaya menamatkan larian dalam tempoh 12 jam 1 minit dan 7 saat.

Menariknya CULTRA menjadi medan cabaran apabila peserta bakal menghadapi kepelbagaian laluan larian seperti ladang teh, pendakian berbukit dan denai hutan -- selain diuji dengan keadaan cuaca sejuk dan tidak menentu yang pernah mencecah suhu sehingga 11 darjah celcius di Cameron Highlands.

Pada tahun ini CULTRA telah menerima sebanyak 2,500 penyertaan dari Malaysia dan 35 negara seluruh dunia antaranya Britain, Afrika Selatan, Amerika, Jerman, Austria, Kazakhstan, Australia, Belgium, Bulgaria, Kanada, Finland dan banyak lagi.

CULTRA menawarkan hadiah lumayan bernilai lebih RM20,000 terdiri daripada pelbagai barangan kepada pemenang.

Impak positif daripada penganjuran CULTRA tahun ini, ia dijangka mampu merangsang unjuran kutipan RM12 juta perbelanjaan pelancongan di tanah tinggi tersebut.

Bahkan, Boh Plantation Sdn Bhd menjadi antara rakan sokongan CULTRA sejak kali pertama diadakan pada 2016 dan mengakui pelancongan sukan berkenaan terbukti mampu memberi kesan limpahan ekonomi kepada pemain industri dan masyarakat setempat.

Kejayaan CULTRA dalam menarik pelancong antarabangsa ke Cameron Highlands turut diiktiraf oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya apabila acara sukan larian denai Ultra itu dimasukkan ke dalam kalendar acara pelancongan Malaysia oleh Biro Pameran dan Konvensyen Malaysia (MyCEB) pada tahun ini.

Destination: