Lelaki Bujang Lebih 7 Tahun Lebih Mudah Mati Cepat

GAYA HIDUP
January 13, 2022 - 12:03 PM


Dikatakan terdapat kajian mendakwa lelaki berisiko mati awal jika hidup bersendirian lebih dari tujuh tahun. Kajian itu malah mendapati perceraian memburukkan situasi dengan mengakibatkan masalah kesihatan dalam kalangan lelaki pertengahan umur.

Lapor Daily Mail, kajian itu mendedahkan lelaki dalam kategori berkenaan mempunyai tahap keradangan lebih tinggi dalam badan mereka.

“Tindak balas biologi terhadap tekanan ini dikaitkan dengan beberapa masalah kesihatan seperti risiko kematian lebih awal, serangan jantung, strok, kanser dan demensia,” jelas laporan itu.

Kajian membabitkan seramai 4,835 individu berumur 48 hingga 62 tahun itu, antara lain meneliti perceraian, putus cinta dan tempoh hidup bersendirian antara 1986 dan 2011.

Lelaki yang mengalami putus cinta sebanyak dua kali atau lebih sepanjang tempoh itu didapati mempunyai tahap interleukin 6 dan protein C-reaktif iaitu 17 peratus lebih tinggi dalam darah mereka yang menunjukkan keradangan.

Ia amat berbeza dengan lelaki mempunyai hubungan perkahwinan yang stabil.

“Bukti menunjukkan lelaki lebih bergantung kepada wanita berbanding sebaliknya. Jadi, dalam situasi ini, golongan lelaki lebih terdedah jika kehilangan mereka,” kata pengarang kanan kajian dari Universiti Copenhagen, profesor Rikke Lund.

Sumber: Utusan