Lelaki Pertama Hidup Dengan Jantung Babi Kini Semakin Pulih Selepas 3 Hari Pembedahan

GAYA HIDUP
January 12, 2022 - 10:42 AM


Seorang lelaki di Maryland, New York telah berjaya menjalani pembedahan di mana jantungnya digantikan dengan jantung babi. Pakar bedah di Pusat Perubatan Universiti Maryland mengambil masa selama sembilan jam bagi menjalankan pembedahan pemindahan jantung tersebut.

Pembedahan itu mencatat rekod kali pertama di dunia dalam sejarah perubatan melibatkan pemindahan organ dalaman haiwan yang diubah suai genetiknya kepada manusia. 

Penerima organ itu, David Bennett, 57, dilaporkan semakin pulih dan dipantau rapi bagi menilai prestasi organ baharu itu.

Bennett sebelum ini tidak layak menjalani pembedahan melibatkan organ manusia disebabkan mempunyai tahap kesihatan yang sangat teruk. 

Lelaki itu menghabiskan masa selama beberapa bulan terlantar dengan bantuan mesin pintasan jantung.   

“Saya tidak sabar hendak bangun dari katil selepas pulih nanti. Pembedahan ini antara hidup atau mati. Saya tahu ia adalah keputusan yang paling berisiko, tetapi ia adalah pilihan terakhir saya,” katanya.   

Menerusi pembedahan itu, doktor menggantikan jantungnya dengan jantung babi yang berusia setahun. 

Dr. Bartley Griffith yang melakukan pemindahan jantung babi itu menjelaskan proses tersebut membantu menyelesaikan krisis kekurangan organ manusia. 

“Kami melaksanakan pembedahan itu dengan berhati-hati dan optimis pembedahan pertama di dunia itu akan menyediakan pilihan baharu yang penting untuk pesakit pada masa hadapan,” katanya.  

Tahukah korang, terdapat lebih daripada 100,000 rakyat AS berada dalam senarai menunggu pemindahan organ, dengan 6,000 daripada mereka mati setiap tahun menunggu giliran pemindahan organ, mengalami gejala dan kesan sampingan yang teruk.

Sumber: Utusan