Nak Tahu Status & Segala SOP Negara Kita? Layari Website Rasmi PPN Ini

GAYA HIDUP
July 29, 2021 - 02:57 PM


Jika anda ingin mengetahui segala maklumat mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang melibatkan indikator setiap fasa, manfaat pakej bantuan dan pelaksaan prosedur operasi standard (SOP) terkini -- anda boleh melayari Portal Rasmi PPN yang baru.

Laman sesawang https://pelanpemulihannegara.gov.my/ yang telah dilancarkan pada Isnin lalu itu boleh diakses bagi memberikan peluang kepada rakyat mendapatkan segala maklumat terperinci mengenai pelaksanaan PPN yang sedang dijalankan di negara ini untuk mengekang penularan pandemik Covid-19.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz memberitahu perkara itu ketika sesi pembentangan Sidang Khas Dewan Rakyat di Parlimen hari ini (29 Julai).

Malaysia kini melaksanakan PPN sebagai strategi peralihan keluar dari krisis Covid-19 secara berfasa, teratur dan selamat.

Beliau yang juga Menteri Penyelaras PPN berkata, pelan ini mengambil pendekatan seluruh negara yang bersifat dinamik serta disokong oleh fakta-fakta sains dan penilaian indikator.

”Sebagai sebuah pelan yang berpandangan ke hadapan dan anjal, ia bertujuan untuk memastikan keseimbangan dalam usaha kita menyelamat nyawa, memastikan kelangsungan hidup rakyat dan memelihara kesejahteraan ekonomi.

”Seterusnya, kesinambungan PPN akan diadun dan disusuli dengan usaha pemulihan dan pemerkasaan melalui Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12, yang bakal dibentangkan di hadapan semua Ahli Dewan serta seluruh rakyat Malaysia dalam masa beberapa bulan akan datang,” katanya.

Sumber: Malaysia Gazette

Destination: