Pembukaan Semula Sempadan Malaysia-Thailand Bakal Diumum Minggu Depan

GAYA HIDUP
December 06, 2021 - 05:10 PM


Thailand akan mempertimbangkan pembukaan semula sempadan dengan Malaysia, seperti dicadangkan ahli Parlimen dari wilayah selatan.

Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) yang mengendalikan perkembangan di wilayah selatan dijangka membincangkan perkara itu sebelum keputusan dimuktamadkan, minggu ini.

Berdasarkan laporan Bangkok Post, jurucakap timbalan kerajaan, Rachada Dhnadirek, berkata CCSA sebelum ini mencapai persetujuan secara prinsip berhubung cadangan berkenaan dan mengarahkan supaya pusat kawalannya mengkaji butiran berkaitan.

Bagaimanapun, katanya, perkara berkenaan dikaji semula susulan perkembangan di Malaysia yang merekodkan kes pertama Omicron, membabitkan seorang pelajar asing yang pulang dari Afrika Selatan.

"Pusat kawalan akan membincangkan cadangan pembukaan semula sempadan dan mengemukakan perkara ini kepada CCSA untuk pertimbangan sewajarnya dalam mesyuarat Isnin depan," katanya.

Rachada berkata, Kerajaan Thailand berhasrat untuk membuka semula sempadan Thailand-Malaysia dan CCSA sebelum ini mengadakan pertemuan pada 26 November lalu bagi menilai situasi COVID-19 di lima wilayah dekat selatan, iaitu Songkhla, Satun, Narathiwat, Yala dan Pattani, dengan pelan pembukaan semula laluan sempadan pada 16 Disember.

Katanya, laluan sempadan yang pada asalnya dibuka semula termasuk Sa Dao di Songkhla, Sungai Kolok di Narathiwat, Betong di Yala dan Wang Prachan di Satun.

"Pembukaan semula sempadan Thailand-Malaysia dijangka berupaya menghidupkan semula industri pelancongan dan memacu pemulihan ekonomi di wilayah selatan," katanya.

Bangkok Post juga melaporkan bahawa TAT sudah menetapkan sasaran kemasukan pelancong asing seramai 600,000 orang bagi tempoh dua bulan terakhir tahun ini.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Awam, hari ini melaporkan Thailand merekodkan 4,000 kes baharu COVID-19 dan 22 kes kematian baharu, semalam. 

Sumber: Berita Harian

Destination: