Peminat Bola Sepak Bakal Kembali Ke Stadium!

GAYA HIDUP
September 22, 2021 - 10:39 AM


Saatnya telah tiba, mesti peminat bola sepak negara rindukan feel masuk stadium kan? Kerajaan memberi bayangan bahawa sukan no.1 negara itu bakal menerima semula kehadiran penyokong di stadium!

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Faizal Azumu berkata kerajaan bersama Majlis keselamatan Negara (MKN) ketika ini sedang memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) yang bersesuaian bagi menjamin keselamatan penyokong yang hadir selepas ia dibenarkan dibuka nanti.

"Kita sedang memperhalusi untuk kemungkinan membuka kembali stadium, supaya kita dapat meraikan kemeriahan Piala Malaysia.

Perkara ini kalau kita dapat lakukan sekali lagi dengan SOP yang ketat. Peminat bola sepak nanti jika ia dibuka, sila patuh SOP," katanya pada sidang media bersama Menteri Kanan Pertahanan dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri selepas hadir pada Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 (SOP) di bangunan Parlimen petang tadi.

Jelasnya lagi, mesyuarat hari ini juga telah membuat keputusan untuk membenarkan pembukaan gimnasium dan sukan tertutup selepas hampir enam bulan tidak beroperasi.

“Hari ini operator-operator sukan tertutup (indoor sport) gimnasium dan para pengguna sangat mengalu-alukan dan gembira yang telah kerajaan buat,” jelasnya.
Bagaimanapun tegas beliau, keputusan itu tetap tertakluk kepada syarat dan pematuhan SOP yang ketat seperti yang telah ditetapkan memandangkan ia mempunyai risiko jangkitan COVID-19 yang agak tinggi.

Sumber: Astro Awani

Destination: