Pengguna Grab Kini Boleh Gunakan Perkhidmatan Mereka Ketika Di Jepun Dan Timur Tengah

GAYA HIDUP
November 20, 2019 - 05:05 PM


Grab baru – baru ini telah mengadakan kerjasama dengan syarikat perkongsian kenderaan di Jepun dan di negara Timur Tengah yang membolehkan pengguna mereka memesan kenderaan dari syarikat – syarikat berkenaan menerusi aplikasi mereka.

Servis yang setakat ini boleh digunakan oleh pengguna di Singapura dan Filipina ini akan menyenaraikan syarikat atau jenama lain dalam aplikasi Grab mereka untuk dipesan dan pembayaran boleh dilakukan menggunakan eWallet Grab sambil mengumpul mata.

Tempahan kenderaan ini dipenuhi oleh JapanTaxi di Jepun manakala Careem di Timur Tengah. Dengan kerjasama terbaru ini, tempahan meliputi 5 bandar di Jepun dan 94 bandar di 13 negara Timur Tengah iaitu UAE, Qatar, Iraq, Oman, Turki, Jordan, Maghribi, Mesir, Arab Saudi, Pakistan, Bahrain, Lubnan dan Kuwait.

Dalam erti kata lain, pengguna Grab dari Singapura atau Filipina kini boleh terus memesan kenderaan daripada JapanTaxi di Jepun atau kenderaan dari Careem di negara – negara timur tengah tadi tanpa perlu memuat turun aplikasi lain.

Menurut siaran akbar yang dikeluarkan pihak Grab, aplikasi Grab akan mengikut bahasa yang ditetapkan oleh pengguna dan sebarang mesej yang dihantar atau diterima antara pemandu dan penumpang melalui aplikasi berkenaan akan diterjemahkan secara automatik.

Servis terkini ini akan berada di bahagian ‘transport’ di aplikasi Grab mereka sejurus sahaja mereka tiba di destinasi sama ada Jepun atau mana – mana negara timur tengah. Grab juga menyarankan pengguna supaya mengaktifkan serta mengesahkan perkhidmatan eWallet mereka.

Servis terbaru Grab ini dilakukan menerusi kerjasama antara Grab dan Splyt.

Walaupun belum tersedia untuk pengguna Malaysia, Grab mensasarkan untuk mengembangkan lagi perkhidmatan ini kepada kesemua pengguna mereka di Asia Tenggara menjelang 2020 sekiranya diluluskan