Pramugari Jet Peribadi Kongsi Tip Penting Elak Jangkitan Kalau Menginap Di Hotel Lepas Ni
GAYA HIDUPMemandangkan ketika ini semakin banyak negara yang bakal 'membuka pintu masuk dan keluar' mereka kepada kedatangan pelancong asing berdasarkan situasi yang semakin membaik akibat penularan pandemik COVID-19, pasti ramai yang teruja untuk memulakan perjalanan percutian mereka ke destinasi menarik sama ada di dalam atau luar negara.
Namun gaya percutian yang bakal dilakukan pastinya akan berubah seiiring dengan norma baharu iaitu menjaga penjarakan sosial serta kebersihan diri dan persekitaran bagi mengekang risiko jangkitan.
Seorang krew pesawat jet peribadi yang dikenali sebagai SkyQueen yang popular di laman Youtube telah berkongsi beberapa tip kebersihan yang boleh dilakukan bagi memastikan bilik hotel yang didiami terhindar daripada risiko COVID-19.
Pramugari tersebut memberitahu dirinya kini kembali bertugas selepas hampir sebulan arahan lockdown berikutan perubahan jadual penerbangan.
Dia yang membuat rakaman sendiri ketika berada di sebuah hotel di Amerika Syarikat (AS) kelihatan memakai mask serta sarung tangan sambil berkongsi tip bagi melindungi diri daripada dijangkiti virus berkenaan.
Berikut tip yang dikongsikan beliau berdasarkan video yang disiarkan di Youtube bertajuk : DIRTY HOTEL ROOMS - Flight Attendant Cleaning Rituals.
1) Tanggalkan kasut yang dipakai sebaik sahaja memasuki bilik hotel, letakkan kasut di sebelah pintu dan sembur dahulu kasut tersebut dengan cecair pembasmi kuman sebelum dimasukkan ke dalam beg kasut.
2) Sembur beg pakaian dengan penyembur kuman dan lap dengan tisu anti-bakteria.
3) Sembur dan bersihkan juga di sekitar kawasan katil terutama meja tepi.
4) SkyQueen turut menyarankan kepada semua supaya membersihkan 'remote control' kerana ia telah disentuh oleh ramai tetamu yang menggunakannya.
5) Selain itu, penyembur kuman yang dibawa juga boleh digunakan untuk membersihkan kawasan sinki, tab mandi dan tandas.
6) Apabila semuanya sudah dibersihkan, jangan lupa juga menyembur telefon bimbit sebelum membuka mask, sarung tangan dan membersihkan tangan.
Nak lebih jelas tentang tip beliau, boleh tonton sendiri video di bawah ini!