Risiko Kes Covid Meningkat, Melaka Pertimbang Wajib Pakai Mask
GAYA HIDUPMelaka akan menguatkuasakan semula pemakaian pelitup muka sekiranya kes Covid-19 direkodkan kembali meningkat di negeri ini.
(Sumber Gambar: Xinhua.net)
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Melaka itu, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pemantauan selama 14 hari akan dilakukan bermula hari ini sebelum prosedur operasi standard (SOP) itu dilaksanakan.
“Pihak kerajaan negeri mengambil maklum dan memandang serius dengan pertambahan bilangan kes Covid-19 di seluruh dunia.
“Kami akan memantau dalam tempoh dua minggu ini dan jika penularan kes meningkat naik, kita tidak akan teragak-agak untuk menguatkuasakan semula pemakaian pelitup muka di tempat tertutup dan orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, justeru pihaknya memohon orang ramai termasuk pelancong yang datang ke negeri ini untuk memakai pelitup muka sebagai langkah pencegahan awal.
“Kita sarankan orang ramai untuk memakai pelitup muka untuk mencegah penularan Covid-19 ini.
“Mereka yang masih belum mengambil suntikan vaksin dos penggalak pula dinasihatkan untuk berbuat demikian dan pastikan tidak menjadi penyebar virus berkenaan,”katanya.