Sekarang Ni Semua Rumah Penting Untuk Ada 'Oximeter'. Ini Panduan Sebelum Korang Nak Beli
GAYA HIDUPSemalam (18 Ogos) -- negara kita sekali lagi merekodkan jumlah kes baharu Covid-19 yang tertinggi dalam sejarah dengan 22,242 kes.
Manakala Selangor kekal sebagai negeri mencatatkan kes paling banyak iaitu 6,858 kes, diikuti Sabah (2,413 kes); Pulau Pinang (1,867 kes); Kedah (1,852 kes); Kuala Lumpur (1,587 kes); Johor (1,477 kes) dan Sarawak (1,403 kes).
Dalam pada negara kita masih bergelut dengan pandemik ini, lebih-lebih lagi apabila ancaman varian baharu, Delta telah bermutasi dengan jangkitan yang semakin membimbangkan.
Ini sekaligus mengajar kita untuk lebih berdisiplin dan hanya keluar rumah apabila betul-betul perlu sahaja.
Malah, rakyat kini juga disarankan untuk bersiap siaga dengan penyediaan alat bantuan kesihatan yang boleh disediakan di rumah dan paling popular ketika ini adalah alat pengukut kadar oksigen dalam badan atau disebut 'Oximeter'.
Alat ini penting untuk kita sentiasa memantau kadar oksigen dalam badan.
Ini kerana pesakit COVID-19 sama ada bergejala atau tidak kebiasaannya menunjukkan kadar oksigen yang terjejas iaitu di bawah paras 95 peratus.
Sebelum anda bercadang membeli peranti ini, terdapat beberapa perkara penting perlu anda pertimbangkan.
Pertama sekali apakah sebenarnya fungsi oximeter?
FUNGSI OXIMETER
- Sejenis alat kompak pengesan nadi oximeter yang bersifat mudah alih
- Sesetengah oximeter dilengkapi dengan bunyi amaran jika ia mendapati bacaan di bawah paras normal atau terlalu rendah
- Peranti yang mengesan dengan cepat dan memberikan bacaan tempoh beberapa saat sahaja
- Dilengkapi skrin terang yang menunjukkan indikasi maklumat bacaan
KENAPA OXIMETER SANGAT PENTING
- Untuk memeriksa tahap kandungan oksigen dalam badan dan mengesan dengan awal sekiranya ada yang tidak kena pada badan
- Bagi mengesan secara awal jika pesakit memerlukan bantuan pernafasan seperti bekalan oksigen
- Memeriksa dan menilai tahap sistem pernafasan sama ada memerlukan bantuan pernafasan atau ubatan
PERKARA PERLU DIPERTIMBANG SEBELUM BELI OXIMETER
- Pertama sekali harganya yang berpatutan
- Pilih oximeter yang mempunyai fungsi bunyi amaran atau buzzer
- Ketepatan bacaannya sangat penting tidak kiralah sama ada anda membelinya untuk kegunaan konvensional atau untuk pemantauan harian tahap kesihatan
- Oximeter yang mempunyai faktor ketahanan air
- Dapatkan oximeter yang mempunyai kelulusan atau sijil kualiti daripada agensi tertentu
- Selain itu anda juga harus rajinkan diri untuk baca review serta padangan daripada pengguna yang telah membeli produk tersebut
MENGGUNAKAN OXIMETER DENGAN BETUL
- Pastikan dalam keadaan relaks badan dan mental untuk bacaan tepat
- Jangan gerakkan tangan ketika bacaan sedang dilakukan. Untuk kestabilan letakkan tangan di atas permukaan rata seperti di atas meja atau katil.
- Jangan gunakannya ketika bateri dalam keadaan lemah
- Usah alihkan peranti ketika bacaan sedang dilakukan. Sedikit pergerakan boleh menjejaskan bacaan tepat
Sumber: Astro Awani