Wow, Singapura Beri 'Lampu Hijau' Kepada Aktiviti S4ks G4y!

GAYA HIDUP
August 22, 2022 - 01:04 PM


Negara jiran kita, Singapura dilaporkan bakal memansuhkan jenayah seks antara lelaki atau dalam erti kata lain membenarkan aktiviti seks di kalangan golongan gay.

Tetapi, republik tersebut masih tidak berhasrat mengubah takrifan perkahwinan antara lelaki dan wanita di negara itu.

Perkara tersebut diumumkan oleh Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong pada Ahad.

Beliau berkata, kerajaan akan memansuhkan Seksyen 377A kanun keseksaan iaitu sebuah undang-undang era kolonial yang menjenayahkan hubungan seks antara lelaki.

"Saya percaya ini adalah perkara yang betul untuk dilakukan dan sesuatu yang kini diterima oleh kebanyakan rakyat Singapura," katanya ketika berucap pada himpunan tahunan sempena Hari Kebangsaan Singapura.

"Biarpun kami memansuhkan Seksyen 377A, kami akan menegakkan dan melindungi institusi perkahwinan.

"Di bawah undang-undang, hanya perkahwinan antara seorang lelaki dan seorang wanita yang diiktiraf di Singapura," katanya.

Bagaimanapun, masih belum jelas bilakah seksyen itu akan dimansuhkan.

Menurut Lee, masyarakat Singapura terutama golongan muda di republik itu semakin menerima golongan gay.

Singapura menjadi negara terbaru di Asia yang mengambil langkah menamatkan diskriminasi terhadap komuniti LGBTQ.

Pada 2018, mahkamah India memansuhkan larangan perlakuan seks golongan gay, sementara Thailand baru-baru ini juga turut mula mengambil langkah membenarkan perkahwinan sejenis.

Di bawah Seksyen 377A Singapura, pesalah boleh dipenjarakan sehingga dua tahun di bawah undang-undang tersebut, namun ketika ini ia tidak dikuatkuasakan secara aktif. 

Tidak ada sabitan dilakukan bagi perlakuan seks antara lelaki dewasa dengan persetujuan besama sejak beberapa dekad lalu dan undang-undang itu tidak termasuk seks sesama wanita atau jantina lain.

Sumber: Malaysia Now

Destination: