'The Giving Bank' Berjaya Kumpul Sumbangan RM1.4 Juta Untuk 5 Projek Kebajikan

GAYA HIDUP
July 16, 2019 - 06:52 PM


Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima.

Atas dasar itu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), The Giving Bank yang sememangnya terkenal dengan kerja-kerja kebajikan dan membantu golongan kurang berkemampuan tampil dengan inisiatif menganjurkan 'Majlis Makan Malam Amal' di sebuah hotel di ibu negara, pada Sabtu lepas.

Dalam majlis tersebut, The Giving Bank berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM1.4 juta untuk disalurkan kepada 5 projek kebajikan yang telah dirancang bagi tahun 2019/2020, antaranya:-

1. Membina Penempatan Penduduk Kampung & Orang Asli di Kampung Gurney, Batang Kali (RM50,000)

2. Membina Penempatan Penduduk Kampung & Orang Asli di Kampung Serigala, Kuala Kubu Baru(RM50,000)

3. Memperkasa komuniti ibu tunggal dengan menawarkan platform perniagaan (RM25,000)

4. Membiayai pelajaran untuk 10 kanak-kanak Sindrom Down (RM25,000)

5. Memberi biasiswa penuh kepada pelajar lepasan SPM yang kurang berkemampuan untuk menyambung pengajian di peringkat Diploma (RM1.25 Juta)

The Giving Bank yang telah ditubuhkan sejak Disember 2016 aktif dalam mengumpul derma menerusi kempen-kempen amal berasaskan 4 kategori utama iaitu Pendidikan, Kesihatan, Kemanusiaan dan Persekitaran.

Menariknya, segala maklumat pengurusan dana oleh pertubuhan itu dilakukan secara telus dan kesemua kempennya tertera di laman sesawang rasmi mereka iaitu www.thegivingbank.com serta dipantau ketat oleh Ahli Lembaga Pengarahnya.

Menggunakan slogan “The Bank That Gives”, segala sumbangan yang diterima diuruskan dengan penuh integriti dan penderma diberikan resit serta laporan akan dibuat secara automatik untuk rujukan mereka.

Malah, setiap penderma juga akan menerima email mengenai sumbangan yang mereka salurkan selain maklumat mengenai kempen-kempen yang akan datang.

Ia juga bagi menggalakkan orang ramai mengambil bahagian dengan menjadi sukarelawan untuk aktiviti-aktiviti amal yang dirancang.

Setelah hampir 3 tahun beroperasi, The Giving Bank berjaya menguruskan 132 projek kebajikan yang memberi manfaat kepada 5,317 penerima di seluruh negara.

Pada majlis makan malam amal itu juga, The Giving Bank memberi pengiktirafan “The Humanitarian Awards 2019” kepada 35 penderma yang bermurah hati dan banyak menghulurkan tenaga dalam kerja-kerja kebajikan bersama mereka.

Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai kempen kebajikan dan cara untuk menghulurkan sumbangan, anda boleh layari Facebook The Giving Bank.