Tinggal di Bandar Mungkin Boleh Jadi Faktor Anda Mati Awal

GAYA HIDUP
November 15, 2017 - 11:00 AM


“MEMANG ada kelebihan tinggal di bandar tetapi apabila ia hadir sekali dengan tekanan 24 jam setiap hari, perbelanjaan yang lebih tinggi dan tempat tinggal yang lebih sempit.

Ini pendapat pengasas syarikat keselamatan siber, Coblue Cybersecurity, Yori Kamphuis tentang kehidupan di luar bandar berbanding di bandar-bandar besar.

“Masalah itu tidak berakhir di situ sahaja, bandar-bandar akan membentuk fenomena ‘pulau haba," jelas Yori dalam satu artikel yang disiarkan di portal Forum Ekonomi Dunia pada 31 Oktober lalu.

Laporan itu turut memetik, fenomena 'pulau haba' itu memberi impak terhadap kualiti udara dan air.

Di London, kualiti udaranya sudah melepasi had kadar udara merbahaya pada penghujung tahun 2015.

Katanya, kira-kira 30 peratus daripada populasi dunia pada saat ini berhadapan dengan gabungan ancaman suhu dan kelembapan ini boleh mengurangkan jangka hayat manusia sekurang-kurangnya 20 hari setiap tahun.

“Kaji selidik menunjukkan beberapa bandar bakal mengalami peningkatan suhu sebanyak 8℃ menjelang akhir abad ini.

“Malah gelombang haba di kawasan bandar adalah lebih panas dan lebih berbahaya,” katanya.

Kawasan bandar juga lebih berisiko mengalami banjir susulan pembinaan saliran yang tidak cekap.

“Kita juga harus mengubah infrastruktur untuk menangani masalah perubahan taburan hujan,” katanya.

Yori turut dipetik sebagai berkata peluang ekonomi akan wujud bukan sahaja di kawasan bandar malah di luar bandar juga.

Beliau juga mengambil contoh beberapa bandar utama yang semakin mengecil akibat perpindahan sektor pengilangan dan industri ke lokasi lain.

“Beberapa bandar di Jepun, China, Latvia dan Bosnia & Herzegovina mencatatkan penguncupan antara 8.5 ke 15 peratus antara tahun 2005 hingga 2015.”