Tradisi Buka Puasa Di Tengah Padang Mungkin Dibenarkan Tahun Ini?

GAYA HIDUP
March 24, 2022 - 01:22 PM


Tradisi berbuka puasa di padang MBK 1 di sini berkemungkinan kembali dibenarkan tahun ini jika mendapat kelulusan kerajaan negeri.

Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memutuskan tidak mempunyai halangan jika tradisi itu kembali diadakan selepas dua tahun tidak dibenarkan ekoran COVID-19, jika Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) memperoleh kebenaran kerajaan negeri.

"Kita berharap kerajaan negeri dapat memberikan kelulusan kerana berbuka di padang mendapat permintaan ramai, malah boleh dikatakan menjadi sebahagian daripada produk pelancongan di Kuantan.

MBK juga menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bersesuaian seperti menyediakan 65 lot bagi memastikan penjarakan fizikal," katanya pada sidang media pada Majlis Penyerahan Permit Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri di Dewan Bandaraya di Kuantan.

Selain itu, MBK juga telah membuat persediaan untuk menaikkan imej Padang MBK 1 antaranya membina menara jam sebagai mercu tanda baharu padang selain memasang lebih banyak lampu untuk meningkatkan aspek pencahayaan.

Mengulas mengenai Bazar Ramadan dan Aidilfitri di Kuantan tahun ini, Hamdan berkata terdapat 25 lokasi akan beroperasi tahun ini dengan penglibatan 1,045 peniaga.

Dengan tema "Lestari dan Pintar", Hamdan berkata tiada bekas polisterin, dawai kokot dan penyedut minuman plastik adalah tidak dibenarkan selain peniaga perlu menggunakan beg plastik "biodegradable" atau boleh dikitar semula.

"Semua peniaga juga digalakkan menawarkan alternatif bayaran tanpa tunai bagi menggalakkan warga Kuantan ke arah tanpa tunai selain membantu peniaga kecil mendigitalkan perniagaan mereka," katanya.

Peniaga dan pengunjung juga dinasihatkan untuk mematuhi SOP ditetapkan bagi membendung penularan wabak COVID-19, selain bazar yang didapati berlaku penularan akan ditutup selama tiga hari bagi kerja pembersihan.

Untuk tahun ini, Hamdan berkata MBK juga melancarkan kempen "Bandar Rendah Gula" bagi memberi kesedaran bahaya mengambil gula secara berlebihan.

Sumber: BERNAMA

Destination: