[VIDEO] Wow, Rupanya Stesen Minyak Tertua Di Malaysia Berusia 100 Tahun Ada Di Kuala Pilah!

GAYA HIDUP
November 20, 2023 - 05:13 PM


Siapa sangka di sebalik sebuah pekan lama di Jalan Besar, Pekan Johol, Kuala Pilah, Negeri Sembilan terdapat sebuah pam minyak berusia hampir 100 tahun yang masih teguh berdiri memberi khidmat kepada penduduk setempat.

Menerusi laporan Harian Metro -- stesen minyak tersebut dikatakan hanya mempunyai tiga orang pekerja, dua pam dan struktur premis berkeluasan 2 meter persegi tetapi mempunyai nilai sejarahnya tersendiri.

Pernah menjadi bualan kerana bakal ditutup pada 1 Mac 2010 -- namun mengambil kira keluhan masyarakat setempat, ia terus beroperasi termasuk meningkatkan aspek keselamatan.

Penduduk mendakwa ia stesen minyak paling tua di Malaysia dan menyifatkan khazanah tersebut perlu dikekalkan bagi tatapan generasi negara akan datang

Menurut seorang pekerja, R Mary Agnes, 45 tahun berkata, dia tidak pasti usia sebenar stesen minyak berkenaan namun ia adalah perniagaan keluarga yang diturunkan dari generasi ke generasi.



"Saya bekerja di sini sudah hampir 10 tahun. Di stesen ini, hanya terdapat dua pam, satu untuk diesel dan satu lagi untuk petrol serta menjual minyak hitam.

"Barang-barang lain tidak dijual seperti stesen minyak moden ketika ini yang dilengkapi premis besar.

"Saya tidak pasti berapa umur stesen ini, ada kata 100 tahun dan ada dakwa dalam lingkungan 80 tahun. Namun pekan ini memang sudah wujud ketika 1930-an.

“Selain beri kemudahan kepada orang ramai, stesen minyak ini telah juga telah menjadi nilai sejarah dan ramai orang luar yang datang untuk bergambar,”
 katanya.

Menurut seorang pelanggan, Norrizam Kassim@Abdul Karim berkata, jika stesen minyak itu tiada, mereka terpaksa ke Pekan Senaling di sini sejauh 17 km atau ke Pekan Tampin sejauh 18 km untuk mengisi petrol.

"Pekan Johol ini adalah laluan Tampin ke Kuala Pilah. Di sini hanya terdapat stesen minyak ini sahaja dan atas faktor itu, ia masih beroperasi meskipun saya difahamkan usianya sudah mencecah 100 tahun.

"Selain menjadi keperluan kepada penduduk setempat, stesen minyak ini mempunyai nilai sejarah dan suatu tarikan kepada orang luar kerana saya difahamkan ia adalah stesen paling tua yang masih beroperasi di negara ini.

"Sayang jika dirobohkan. Saya berpendapat ia patut dikekalkan sebegini meskipun kelak akan wujud stesen minyak baharu di kawasan ini," katanya.

@fidaiyyin_al_farasu SEKILAS PANDANG | Stesen Minyak Shell zaman British era 1950an, antara stesen minyak terawal di Semenanjung Malaysia yang masih wujud di Pekan Johol, Kuala Pilah, Negeri Sembilan #antik #fyp #fypシ #malaysia #stesenminyak #shellmalaysia #pekanjohol #kualapilah #negerisembilan ♬ original sound - Fidaiyyin_Al_Farasu

Sumber: Says.com

Destination: