Kecoh Sana-Sini Sebut Nama Syed Mokhtar. Ini Cerita Menarik Tentang Siapa Sebenarnya "Orang Melayu Terkaya Di Malaysia" Ni!

GAYA HIDUP
December 07, 2022 - 05:40 PM


Beberapa hari kebelakangan ini nama orang Melayu terkaya di Malaysia iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary kembali 'panas' dan disebut-sebut di pelbagai saluran media.

Semua berlaku selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan beliau menerusi syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) menyalurkan peruntukan RM10 juta kepada pesawah miskin bulan ini dan RM50 juta tahun hadapan serta menegur Syed Mokhtar agar mengurangkan tindakan memonopoli beras dalam negara.

Inidvidu Bumiputera terkaya di Malaysia itu menerima dan bersetuju dengan arahan Kerajaan Persekutuan itu.

Namun ada yang mempersoalkan tindakan Perdana Menteri itu yang didakwa hanya menegur Syed Mokhtar memandangkan beliau adalah ikon Melayu Islam yang paling berjaya di dalam bidang perniagaan --sedangkan teguran sama seharusnya dibuat secara menyeluruh dan perlu melibatkan semua tokoh perniagaan lain di negara ini.

Jom kita baca perkongsian seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Jalan Para Solihin yang membuat sedikit kupasan mengenai isu melibatkan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang terkenal kerana kekayaan serta sifat dermawannya.

PERKONGSIAN TENTANG TAN SRI SYED MOKHTAR AL BUKHARY

- Semenjak semalam isu berkaitan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary telah kecoh diperkatakan di media sosial. Beliau adalah merupakan seorang ikon Melayu Islam yang paling berjaya di dalam bidang perniagaan di negara ini. Berdasarkan Senarai Orang Paling Kaya Forbes Malaysia 2021, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary kekal menjadi Bumiputera terkaya di Malaysia apabila disenaraikan pada kedudukan ke-18 dengan kekayaan AS$1.2 bilion (RM4.94 bilion). 

- Ramai yang merasa simpati ke atas nasib Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary apabila mengenangkan jasa serta sumbangan beliau kepada masyarakat dan negara, selama ini. Tetapi ada juga ‘golongan’ tertentu yang merasa amat gembira dengan apa yang sedang berlaku. Persoalannya mengapa beliau menjadi ‘target’ utama dan tindakan yang diambil cuba dihalalkan dengan alasan ‘membantu pesawah miskin’. Bagaimana pula dengan 10 individu lain yang menduduki carta paling kaya di Malaysia? Mengapa mereka ini bukan menjadi sasaran utama untuk ‘digegar dan dipersoalkan’?

- Tahukah anda, sebenarnya pada 30 Julai 2009 sebuah syarikat pelaburan dari Hong Kong, Wang Tak Co. Ltd. (Wang Tak) telah berjaya mendapatkan ekuiti Bernas sebanyak 31% menerusi pasaran terbuka (25 Ogos 1997, BERNAS telah disenaraikan di papan utama Bursa Saham Kuala Lumpur). Untuk menyelamatkan Bernas dari di kuasai oleh syarikat asing ini, Tan Sri Syed Mokhtar melalui syarikatnya, Tradewinds telah membeli semula saham ini secara berperingkat, sehingga mencapai pegangan sebanyak 72.57%, dengan menggunakan duitnya sendiri, walaupun untungnya tidak seberapa pada ketika itu.

SIAPA SEBENARNYA TAN SRI SYED MOKHTAR AL-BUKHARY?

Sebut saja nama Yayasan Al-Bukhary, umum pasti mengetahui siapakah pengasas kepada salah satu yayasan badan kebajikan yang paling dikenali di Malaysia, iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari.

Beliau merupakan salah seorang usahawan Islam yang terkaya di Malaysia dan merupakan jutawan ke-32 terkaya di Asia Tenggara menurut majalah Forbes. Di sebalik kelibatnya sebagai jutawan, Tan Sri Syed Mokhtar turut dikenali sebagai seorang dermawan dan aktif dalam kerja-kerja amal.

Beliau dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 12 Disember 1951, dan merupakan anak ketiga daripada tujuh orang adik-beradik. Sebelum menetap di Kedah, bapanya Syed Nor mengembara sehingga ke Asia Tengah untuk berniaga sebelum kemudian berpindah ke selatan Thailand.

Semasa di situ, bapanya berulang alik dari Sadao ke Hatyai sebelum memilih menetap di Kedah pada tahun 1940-an. Dalam satu temubual bersama The Star, Tan Sri Syed Mokhtar mengakui kehidupan semasa kecilnya berada dalam keadaan serba kekurangan.

Masa kecilnya dihabiskan dengan membantu keluarganya untuk menambah pendapatan harian bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga. Ketika beliau masih di alam persekolahan, beliau sentiasa membantu ibunya menjual sayur-sayuran di Pasar Jalan Telok Wan Jah. Manakala selepas pulang dari sekolah, beliau akan membantu bapanya menternak lembu dan kerbau di pusat kuarantin berhampiran dengan stesen keretaapi Alor Setar.

BAGAIMANA PERMULAAN TAN SRI SYED MOKHTAR MENJADI AHLI PERNIAGAAN BERJAYA?

Menyentuh mengenai latar belakang pendidikannya, Tan Sri Syed Mokhtar bukanlah seorang yang berpendidikan tinggi berikutan mendapat pembelajaran sehingga Tingkatan Lima. Tetapi kekurangan itu ditampung dengan ilmu yang ditimba hasil dari pengalamannya membantu ibu dan bapanya di pasar dan membuat kira-kira.

Akibat terjadinya wabak kuku dan mulut pada haiwan ternakan bapanya yang menyebabkan kerugian besar, Tan Sri Syed Mokhtar membuat keputusan untuk mengambil alih perniagaan bapanya dan beralih kepada perniagaan daging lembu dan kerbau secara kecil-kecilan.

Beliau memulakan perniagaannya dengan membeli daging yang tidak terjual dipasar dan menjualnya kembali kepada mana-mana peniaga Bumiputera dan restoran sekitar Alor Setar. Ekoran kejayaan beliau dalam perniagaan barunya, ia memarakkan lagi azam beliau untuk bergerak lebih jauh dalam dunia perniagaan.

Setelah beberapa tahun, Tan Sri Syed Mokhtar memilih untuk beralih kepada perniagaan pengangkutan dan berjaya mendapatkan permit bagi empat buah lori kelas A. Melalui pinjaman MARA, beliau telah membeli dua buah lori Mercedes 911LS.

Di samping itu, Tan Sri Syed Mokhtar turut menubuhkan Syarikat Pengangkutan Sentosa dan lori-lori tersebut digunakan untuk memulakan perniagaan beras. Salah satu kontrak yang dimenanginya ialah kontrak membekalkan makanan kepada pihak tentera. Ini mendorongnya masuk ke kem-kem dan menjual beras pada masa sama.

Tan Sri Syed Mokhtar kemudiannya menempa nama apabila diberi peluang membangunkan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan kemudiannya pegangan kawalan dalam MMC Corp. MMC Corp kemudiannya menjadi salah satu daripada syarikat utama beliau. Menerusi MMC Corp, beliau berjaya menarik pemain-pemain industri perkapalan seperti Maersk Sealand (Denmark) dan Evergreen Marine (Taiwan) untuk beralih dari Singapura ke Malaysia.

Keadaan ini menyebabkan beliau dihormati pihak berkuasa negara ini. Selain itu, beliau juga terlibat dalam aktiviti penswastaan dan penyenaraian awam Johor Port Bhd dan pengkorporatan Lembaga Pembangunan Tanah Johor Tenggara (KEJORA) dengan sokongan ahli-ahli politik Johor termasuk Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kemudian beberapa tahun selepas itu, Tan Sri Syed Mokhtar bersama beberapa orang pemain industri mengintai-intai peluang mendapatkan pegangan saham strategik sebanyak 15.8% dalam DRB Hicom. Pertarungan untuk mendapatkan pegangan saham itu membabitkan dua pihak iaitu Tan Sri Syed Mokhtar dan Allahyarham Tan Sri S.M. Nasimuddin S.M. Amin (Kumpulan Naza).

Untuk mendapatkan pegangan tersebut bukan sesuatu yang mudah kerana Tan Sri S.M. Nasimuddin turut menubuhkan sebuah konsortium untuk menjayakan usaha pembelian. Antara anggota konsortium yang terlibat ialah bekas ketua firma pelaburan saham Nizam Razak dan Datuk Muhammad Azaham Wahab yang juga pengerusi syarikat pembinaan Merge Energy Bhd.

Untuk mencapai hasrat tersebut, kedua-dua pihak terlibat dalam kempen perang saraf bagi menunjukkan mereka berjaya. Tetapi dengan pelbagai kenyataan media yang muncul ketika itu, Tan Sri Syed Mokhtar yang kurang menggemari publisiti akhirnya bersuara. Beliau menegaskan urusan pengambilalihan saham strategik itu bersifat transaksi bisnes semata-mata dan semua proses telah dilalui untuk menjayakan urusan berkenaan.

Tan Sri Syed Mokhtar yang menggambarkan dirinya sebagai pemain jangka panjang turut menegaskan beliau bukan kroni ahli politik termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Ini kerana kebanyakan kontrak kerajaan yang dimenanginya dibuat secara adil dan saksama.

Walaupun ramai mengagumi pelbagai kejayaan yang diraihnya, tidak ramai tahu jerih-perih yang perlu dilalui apabila beliau ditimpa kegagalan. Menurut Tan Sri Syed Mokhtar, bukan sekali dua beliau berhadapan situasi sebegitu termasuk ditipu oleh ahli perniagaan lain.

Malah semasa krisis ekonomi 1997, nilai aset yang dimiliki beliau berkurangan dari RM3 bilion kepada RM600 juta. Ramai menganggap kerugian tersebut akan mendorongnya untuk berundur. Tetapi Tan Sri Syed Mokhtar terus berjuang dan berjaya kembali ke puncak kerana didorong rasa tanggungjawab menjaga aset-aset strategik Bumiputra dan menjaga kepentingan staf-staf yang bekerja dengannya.

Beliau masih ingat semasa menjalin kerjasama perniagaan dengan Ng Chiak Gee, seorang penjual nasi dan Chua Chong Tan, seorang pengeluar beras dengan dirinya memegang pegangan majoriti sebanyak 52%.

Tambahnya, itu merupakan perjanjian korporat pertama yang dimeterainya. Sejak itu, perniagaan yang diceburinya itu masih kekal sehingga hari ini dengan anak-anak dua rakan kongsinya itu meneruskan peranan sebagai rakan kongsi. Syarikat yang dikenali sebagai Tradewinds Corp Bhd itu kini merupakan antara pemain utama industri gula negara.

Sambil menyifatkan amat menyukai perniagaan yang dibina atas dasar kepercayaan, Tan Sri Syed Mokhtar tidak menggemari mesyuarat korporat yang menunjuk-nunjuk dan lebih suka ia dibuat secara senyap dan mudah.

Kenalan politik dan perniagaannya menyifatkan beliau tidak mempunyai kehidupan sosial kerana terlalu sibuk menguruskan empayar perniagaannya itu.

Sehinggakan Tan Sri Syed Mokhtar hanya mendirikan rumahtangga semasa berusia 41 tahun pada tahun 1992. Hasil perkahwinannya dengan Puan Sri Sharifah Zarah menyaksikan mereka dikurniakan tujuh cahaya mata. Selain itu, beliau juga terus mengekalkan gaya hidup sederhana termasuk tidak mengembara dalam kelas pertama dan memandu sama ada kereta Mercedes Benz atau Proton Perdana.

Bila ditanya mengapa beliau memilih kehidupan sebegitu rupa, Tan Sri Syed Mokhtar berkata, “Saya tidak pernah berkelakuan seperti orang besar kerana semua orang tanpa mengira Melayu, Cina atau India sama saja. Perkara paling penting ialah kita harus konsisten dan berusaha keras untuk berada di puncak.

Tiada jalan pintas menuju kejayaan. Saya masih ingat bertemu dengan beberapa pegawai bank di New York. Mereka terus membaling kad nama mereka kepada saya tetapi saya tetap kekal tenang. Pada akhirnya, saya memenangi kepercayaan mereka melalui cara saya yang berhemah. Saya tidak pernah lupa asal-usul saya.”

KERJA-KERJA AMAL MENERUSI YAYASAN AL-BUKHARY

Selain sibuk menguruskan empayar perniagaannya, beliau juga tidak pernah lokek menyumbang kepada kerja-kerja amal menerusi Yayasan Al-Bukhary. Hampir setiap tahun, yayasan itu menganjurkan majlis buka puasa sebanyak dua kali untuk menjamu 3,000 orang yang tidak berkemampuan.
Yayasan Al-Bukhary juga sibuk dengan projek-projek mereka termasuk pengurusan Muzium Kesenian Islam Malaysia yang dibuka pada tahun 1998. Pada tahun 2001, yayasan turut melancarkan Program Tuisyen Albukhary untuk membantu kanak-kanak luar bandar melepasi peperiksaan akhir tahun sekolah mereka.

Hasilnya sejak itu, lebih 80,000 pelajar dari 500 buah sekolah mendapat manfaat daripada program berkenaan. Yayasan Al-Bukhary turut menghulurkan bantuan bencana alam bagi mangsa-mangsa musibah gempa bumi di China, Pakistan dan Iran serta musibah tsunami di Indonesia pada tahun 2004.

Yayasan tersebut turut membina sebuah hospital AIDS di Uganda dan sebuah sekolah perempuan di Nepal serta menyokong Pusat Sains dan Teknologi Sarajevo. Dari tahun 1996 hingga 2006, yayasan itu telah menyumbang sebanyak RM1 bilion untuk tujuan amal.

Atas sebab inilah, tidak hairanlah mengapa Tan Sri Syed Mohktar telah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 2008. Tetapi beliau juga melakukan sesuatu yang di luar jangkaan selepas menerima anugerah itu.

Selepas mendengar nasihat Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tan Sri Syed Mokhtar mendermakan hadiah anugerah berjumlah RM80,000 kepada ibunya. Beliau turut menyifatkan nilai-nilai yang diamalkan dalam kehidupannya itu telah diterapkan ibu bapanya sejak dari kecil lagi.

Beliau terus menjadi inspirasi kepada golongan muda di luar sana khususnya usahawan-usahawan yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan. Betullah kata orang, setiap kejayaan itu pastinya bermula daripada pelbagai cerita dan pengalaman pahit. Untuk berjaya, seseorang individu itu perlu memiliki usaha dan keazaman yang tinggi, kecekalan dan sentiasa bersikap terbuka dengan rintangan yang mendatang. Kerana itulah resepi kejayaan yang paling efektif.

BEBERAPA LAGI FAKTA MENARIK MENGENAI LELAKI MELAYU TERKAYA DI MALAYSIA INI...

1. Gaji pertama beliau beliau beri kepada ibunya separuh dan separuh lagi kepada orang yang tidak mampu.

2. Beliau HANYA menggunakan sebuah kereta PROTON PERDANA kemana sahaja beliau pergi dan mempunyai seorang pemandu setia dengannya yang juga bertindak sebagai ‘bodyguard’ oleh kerana dia tidak mempunyai pengawal peribadi yang lain.

3. Beliau mempunyai YAYASAN AL BUKHARY dimana kebanyakan keuntungan syarikat diserahkan ke dalam yayasan ini untuk pembangunan ummah.

4. Kadangkala, beliau hanya berkain pelikat dan berselipar keluar bersiar-siar sehingga orang tak percaya itu adalah orang Melayu terkaya di Malaysia

5. Beliau banyak menyelamatkan syarikat Melayu yang kebanyakannya bankrup dan rugi teruk.

6. Beliau juga membantu umat Islam dengan pemilikan syarikat roti Gardenia bagi menjamin kesucian dan kehalalan produk tersebut.

7. Beliau banyak membina masjid dan surau tempat kita beribadat selama ini sama ada dalam negara dan luar negara.

8. Beliau seorang yang tidak sukakan populariti, jarang kita nampak beliau di kaca TV atau sebagainya malah kebaikan yang dilakukannya pun ramai tidak tahu sehingga mendatangkan fitnah seperti hari ini.

9. Beliau ada membina KOMPLEKS AL-BUKHARI di Alor Setar dan disinilah terletaknya rumah anak2 yatim, rumah orang2 Tua, tadika, sekolah, universiti dan sebagainya yang ditanggung penuh oleh beliau.

10. Pada tahun ini 2022, Tan Sri Syed Mokhtar merekodkan jumlah kekayaan sebanyak 1.3 billion USD.

 

 

Destination: