'Terlajak Kreatif' - Plastik Ubat, MySejahtera, Tiket Flight Antara Rekaan Sampul Duit Raya 2023

GAYA HIDUP
January 18, 2023 - 11:40 AM


Pada penghujung bulan Mac nanti, umat Islam di Malaysia dijangka bakal menyambut kedatangan Ramadhan sebelum meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada bulan April akan datang.

Biarpun tempoh itu dianggap masih panjang, nampaknya sudah ada rakyat Malaysia yang mula membuat persiapan untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga tersayang.

Di laman Twitter, seorang individu dikenali sebagai Arif Eddy turut berkongsi foto-foto sampul duit raya dengan rekaan kreatif yang mula dijual sempena lebaran tahun ini.

"Comelnya kalau raya nanti dapat sampul duit macam ni," ciapnya sambul berkongsi foto angpau yang direka persis sampul ubat dari klinik.

Menerusi tweet itu, dia turut berkongsi pautan platform e-dagang Shopee yang menjual aneka sampul duit raya dengan pelbagai rekaan yang unik.

Antara yang mencuri tumpuan tentunya sampul yang direka ala tiket penerbangan Malaysia Airlines dan AirAsia.

Selain itu, rekaan sampul yang diinspirasikan daripada sijil vaksinasi aplikasi MySejahtera turut menjadi perhatian.

Di platform Shopee mendapati sampul duit raya kreatif itu dijual pada harga RM6.

"Sampul duit raya design rare 2023! Dah bosan dengan sampul duit raya biasher-biasher (biasa-biasa)?

"Jom sempena musim raya selepas dua tahun berkurung, kita gunakan sampul duit raya style baharu ni.

"Kertas berkualiti, saiz besar, printing pun cun. Kuantiti lima keping untuk setiap pek. Harga adalah untuk satu pek, sementara stok masih ada," tulis pemilik kedai online itu.

Bagi yang mahu berjimat-cermat, banyak video tutorial pembuatan sampul duit raya turut dikongsi menerusi YouTube.

Anda tidak perlu risau akan kos pembuatan kerana ia hanya menggunakan kertas warna, gunting dan gam sahaja.

Sumber: Mstar

Destination: