5 Masjid Cantik Yang Korang Boleh Bergambar Sempena Raya Aidiladha!

GAYA HIDUP
June 22, 2023 - 04:30 PM


Masjid merupakan sebuah bangunan atau binaan yang sinonim dalam latar belakang pembangunan negara kita. Seni bina Islam dapat dilihat melalui setiap masjid yang digabungkan dengan budaya serta seni bina Malaysia menjadikan setiap masjid mempunyai identiti tersendiri.

Setiap masjid sudah tentu mempunyai seni bina yang khusus dapat dilihat pada setiap masjid seperti keunikan pada kubah, menara, ruang sembahyang serta mihrab menjadi lambang untuk mengenal pasti sebuah masjid.

Sempena Hari Raya Aidiladha yang bakal berlangsung minggu depan, min cadangkan korang pergi ke masjid yang disenaraikan ni kerana seni binanya unik dan berlainan dari masjid kebanyakan di Malaysia.

Dekat Malaysia ni ada lambakan masjid yang cantik serta menjadi tumpuan jemaah dan pelancong untuk solat mahupun bergambar.

Min senaraikan 5 masjid yang mempunyai seni bina cantik dan unik. Boleh OOTD juga tau!

1. Masjid Damansara Perdana, Petaling Jaya

Masjid ni baru saja beroperasi namun telah meraih populariti dalam kalangan komuniti Muslim dan penduduk setempat kerana rekaan yang sangat unik menyerlahkan identiti tersendiri berbanding masjid berdekatan atau seluruh Malaysia.

Masjid ini terletak di kawasan Damansara Perdana yang dikelilingi beberapa kawasan perumahan menjadi sebuah mercu tanda dan landmark di kawasan tersebut. 

Selain itu, Masjid Damansara Perdana ni mempunyai seni bina yang memberi fokus kepada 'industrial design' tau. Ia lebih memberi fokus kepada ciri-ciri seperti fungsi, praktikal dan nilai estetika yang melibatkan penciptaan reka bentuk yang bukan saja cantik malah lebih kepada fungsi serta kegunaan.

Menariknya, masjid ni tak menggunakan sebarang penghawa dingin kerana menggunakan beberapa teknik pembinaan untuk menyediakan suasana nyaman dan sejuk secara semula jadi.

2. Masjid Cyberjaya 10, Cyberjaya

Masjid Cyberjaya 10 bukan sahaja dibina untuk pusat keagamaan tapi menyediakan pelbagai fasiliti untuk meningkatkan persekitaran komuniti setempat seperti pusat dialisis, bilik pendidikan dan taman yang dipenuhi dengan lanskap.

Masjid ni cukup besar dan boleh memuatkan seramai 2,000 orang jemaah. Ia memberi fokus kepada persekitaran dengan menggabungkan elemen-elemen tradisional seperti kayu, batu-bata dan konkrit dapat dilihat pada setiap sudut masjid ini.

Ruangan dalaman sangat cantik dengan seni reka dan minimalis dan sesuai untuk pelbagai majlis keagamaan kerana korang akan jatuh cinta selepas gambar korang dirakam dan diabadikan di dalam album gambar di sini.

Korang dapat tengok bumbung Masjid Cyberjaya 10 dibina secara berlapis sangat sesuai dengan cuaca panas di negara kita ni. Selain tu, masjid ni juga menggunakan teknik seni bina yang membolehkan pengudaraan dan pencahayaan memasuki ke ruang dalaman masjid tanpa menggunakan tenaga elektrik berlebihan.

Terdapat juga kolam air sebagai tadahan hujan bagi membantu mengawal suhu di persekitaran masjid ini untuk memberi suasana sejuk dan nyaman bagi sesiapa yang melawat ke masjid ini.

3. Masjid Kampung Baru, Bentong

Bukan setakat korang je tau, min pun terkejut tengok seni reka masjid ni kerana ia mempunyai nilai estetika yang tinggi dan sangat moden tapi masih kekal dengan ciri-ciri seni tradisional Islam.

Kalau korang nak tahu, bentuk cengkerang siput laut menjadi inspirasi kepada reka bentuk masjid ini. Masjid ini dibina oleh arkitek tempatan yang memberi nafas baharu dengan reka bentuk moden serta sangat minimalis.

Menurut arkitek yang terlibat, gaya rekaan yang lebih moden diterapkan untuk menarik generasi muda hadir ke masjid menikmati keindahan bangunan ini. Sesiapa yang datang singgah solat di sini memang akan terpana-lah dengan reka bentuk dan keindahan masjid ni. Confirm!

4. Masjid Sri Sendayan, Seremban

Masjid Sri Sendayan yang sering disamakan dengan Taj Mahal dan Masjid Nabawi kerana persamaannya bersama bangunan ikonik berkenaan menjadi tumpuan orang ramai setiap kali musim raya untuk mengabadikan kenangan.

View dan suasana masjid ni sangat menakjubkan terutama menjelang senja yang dapat dilihat cahaya kekuningan di sebalik awan. Ramai yang merasakan seolah-olah berada di luar negara apabila berada di Masjid Sri Sendayan kerana tertarik dengan ukiran halus yang cukup kemas di setiap sudut masjid tersebut.

Kebanyakan seni bina termasuk ukiran kayu pada dinding di dewan solat, penggunaan saduran berwarna emas, tulisan khat serta bongkah jubin sebagai dinding berdekatan mimbar adalah ditempah khas dari luar negara.

Masjid yang mampu memuatkan 5,000 jemaah ini dilengkapi dengan macam-macam kemudahan tau, seperti bilik kuliah, perpustakaan, dewan serba guna dan bilik pengurusan jenazah. 

5. Masjid Kota Iskandar, Johor Bahru

Masjid Kota Iskandar yang diberi nama sempena bekas Sultan Johor merupakan binaan yang menggabungkan unsur-unsur seni bina Islam tradisional dengan beberapa ciri-ciri moden.

Kubahnya yang berwarna biru turquoise antara ciri ikonik yang dapat dilihat dari jauh. Selain itu, kubah ini juga dikelilingi oleh empat kubah yang lebih kecil dan dilengkapkan oleh lapan menara dihiasi dengan teknik kaligrafi Islam melengkapkan seni rekaan yang indah ni tau.

Masjid yang mampu menampung sehingga 6,000 jemaah ini dikelilingi oleh taman serta tasik yang cantik untuk para pengunjung menikmati persekitaran di sini. Orang ramai terpesona dengan reka bentuk dihiasi yang penuh pada setiap sudut sehinggalah ke dinding serta silingnya.

Lokasinya yang strategik dari pusat bandar Johor Bahru menjadikan masjid ini antara tarikan pelancong dan penduduk tempat yang korang wajib pergi!

Sekarang korang dah tahu kan masjid-masjid yang cantik untuk korang solat sunat Hari Raya Aidiladha nanti. Dah siap solat nanti boleh-lah OOTD dekat area masjid sambil berbaju Melayu. Mesti handsome-lah!