Buat Live Bayar Hutang Cash RM75,000, Tindakan Ali Puteh Dipersoalkan

HIBURAN
February 21, 2024 - 07:55 PM


Peguam kepada Siti Norhidayah Hamzah iaitu Mohamed Ibrahim Mohamad menjelaskan mengenai tindakan anak guamnya menolak wang RM75,000 yang ingin dibayar oleh pelawak Ali Puteh atas faktor keselamatan.

Ibrahim menerusi perkongsian yang dimuat naik di Instagram menjelaskan, wang yang dibawa oleh Ali terlalu besar dan disiarkan secara langsung di media sosial. "Hidayah memaklumkan kepada saya Ali telah datang ke rumahnya dengan membawa sejumlah wang berjumlah RM75,000.

"Kemudian Hidayah menghubungi saya sama ada dia boleh mengambil atau tidak wang itu! Daripada segi undang-undang memang tiada masalah untuk Ali membayar wang berjumlah RM75,000 berkenaan secara tunai.

"Tetapi saya mengambil kira pada waktu itu jika sejumlah wang besar dibawa masuk ke dalam rumah dan ditambah pula dilakukan secara siaran langsung.

"Oleh itu, orang akan tahu pada malam tersebut akan ada sejumlah wang yang besar dalam rumahnya," katanya.

Dalam pada itu, Ibrahim sudah memaklumkan kepada Ali untuk membuat pembayaran menerusi pindahan wang ke dalam akaun Hidayah.

"Atas faktor keselamatan, saya telah bercakap dengan Ali untuk wang tersebut dibawa ke firma guaman atau lebih mudah dimasukkan ke dalam akaun bank.

"Semua atas faktor keselamatan. Hidayah tiada niat lain untuk menolak wang secara tunai yang dibawa oleh Ali semalam," katanya.

Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan berkongsi video dirinya hadir ke rumah Hidayah semalam bagi melangsaikan tuntutan saman bernilai RM75,000.

Terdahulu, Ali terpaksa menjual tujuh trofi kemenangannya bagi mendapatkan wang untuk melunaskan hutang kakak iparnya.

Antaranya termasuklah trofi program realiti Maharaja Lawak Mega, Muzikal Lawak Superstar, Projek Komedi Warna dan beberapa lagi.

Selain itu, Ali turut menjual motosikal jenis RXZ dan kereta Honda Accord miliknya.

Pada 18 Februari 2022, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Ali dan tiga ahli keluarganya membayar RM60,000 kepada balu Abam Bocey, Hidayah kerana mengeluarkan kata-kata mengaibkan wanita itu di Instagram, dua tahun lalu.