"Dah Takda Idea Ke?" - Running Man Dikritik Kerana Ulang Benda Yang Sama

HIBURAN
February 14, 2024 - 12:01 PM


Bagi mereka yang meminati hiburan dari Korea Selatan, pastinya tidak asing dengan program aneka ragam 'Running Man'. Buat yang tidak tahu, Running Man adalah salah satu rancangan popular di sana dan merupakan show yang paling lama bersiaran dalam sejarah program hiburan di Korea.

Sudah bersiaran selama 14 tahun, rancangan tersebut dikritik teruk oleh media-media Korea baru-baru ini. Kritikan tersebut diberikan kerana kandungan program Running Man yang kelihatan sama bagi setiap episod.

Ini dapat dilihat dalam 4 episod terakhir, di mana penonton akan disajikan dengan rutin yang sama iaitu makanan, memasak dan lawatan ke pasar.

Tayangan episod 688 merupakan perlumbaan membeli-belah makanan, manakala dalam episod 689 ahli-ahli Running Man meraihkan kepulangan Ji Suk-jin yang kemudiannya terdapat slot memasak oleh Song Ji-hyo. Episod 690 pula adalah perlumbaan membabitkan restoran berbaloi, dan episod terkini iaitu 691 pula memperlihatkan ahli-ahli pergi ke pasar untuk membeli bahan-bahan masakan bagi menyediakan makanan seperti tteokguk (sup kek beras) dan jeon (lempeng).

Di antara 4 episod tersebut, dapat dilihat lawatan ke pasar muncul dalam 3 episod dan setiap episod menunjukkan proses penyediaan makanan yang dianggap sebagai mengulangi benda yang sama sehingga mengaburi keunikan rancangan tersebut.

Hal ini menyebabkan ramai yang mengatakan mereka seperti menonton siaran ulangan sejak beberapa episod kebelakangan ini.

Ada juga beberapa pihak yang mengatakan bahawa punca Running Man ketandusan idea adalah kerana tiada perkembangan idea baru ataupun percubaan untuk mengubah konsep program tersebut.

 

Kredit: Kimchi Daily

Destination: