Penyanyi Lagu 'Cukuplah Sekali' Jay Jay Meninggal Dunia

HIBURAN
August 05, 2024 - 07:38 AM


Penghibur veteran tanah air, Mohd Fauzi Darus, yang lebih dikenali sebagai Jay Jay, telah meninggal dunia di sebuah hospital di Damansara, pada Ahad.

Pemergian Jay Jay, 67, dikongsi oleh rakan artis, Datuk Hattan, dan Fauziah Ahmad Daud di laman media sosial mereka.

Memetik laporan media, penghibur yang popular dengan lagu Rindu Bayangan itu mengalami lumpuh selepas menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada 23 Mei lalu.

Memetik laporan MStar, jenazah dijangka akan disolatkan di Masjid Al-Husna Bandar Sunway pada pagi Isnin, dan akan dikebumikan sebelum Zohor.

Salam takziah untuk keluarga dan sahabat handai Allahyarham.

Mei lalu, Allahyarham Jay Jay dilapor menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) selepas mendapat serangan jantung ringan dan sesak nafas ketika mahu menaiki bas dari Singapura ke Kuala Lumpur.

Arwah bagaimanapun dilapor mengalami angin ahmar selepas pembedahan dan perlu menjalani rawatan fisioterapi.

Kerjaya seni Allahyarham Jay Jay bermula sebagai vokalis dan pemain bes kumpulan Carefree yang cukup popular dengan lagu Rindu Bayangan.

Bersama Carefree, Allahyarham Jay Jay sempat merakamkan empat album termasuk album kompilasi.

Allahyarham Jay Jay kemudian meneruskan kerjaya seni secara solo dan menghasilkan tujuh album.

Antara lagu popular arwah adalah Kau Yang Tersendiri, Keasingan Dalam Luka, Cukuplah Sekali dan banyak lagi.

Allahyarham Jay Jay pernah berpadu suara dengan penyanyi Dayangku Intan menerusi lagu Kita Insan Biasa dan Peralihan Zaman.

Selain itu, beliau berduet dengan Ning Baizura menerusi lagu Erti Pertemuan.

Populariti Jay Jay sebagai penyanyi solo terus memuncak apabila doinobatkan sebagai Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 1988.