Selepas Beberapa Hari Hilang, Wanita Dijumpai Maut Dengan Kesan Jerutan Pada Leher
TERKINISeorang wanita yang sebelum ini dilaporkan hilang telah ditemukan maut dalam bilik tidur rumahnya di Indera Mahkota, pada petang Rabu, dipercayai dibunuh.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, memaklumkan bahawa mayat wanita berusia 28 tahun itu ditemui oleh ibu mentuanya sekitar jam 7.30 petang.
Menurut Wan Mohd Zahari, mangsa dipercayai tinggal di rumah tersebut bersama suaminya yang merupakan warga China, seorang anak lelaki berusia tiga tahun dan adik ipar perempuannya.
"Pihak polis menerima laporan kehilangan mangsa oleh bapanya berusia 62 tahun (pengadu) kira-kira jam 3.25 petang pada Rabu.
"Bapa mangsa yang bekerja sebagai peniaga mendakwa gagal menghubungi anak ketiganya itu selepas kali terakhir mereka berhubung melalui pesanan WhatsApp jam 8.30 pagi hari yang sama," katanya.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa sekitar jam 7.30 petang, suami mangsa menghubungi pengadu dan memaklumkan bahawa mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik tidur dengan kesan jerutan pada leher.
Mayat wanita tersebut kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menjalani proses bedah siasat.
"Susulan penemuan mayat wanita itu, polis telah menahan empat ahli keluarga termasuk suami, bapa, bapa dan ibu mentuanya berusia 27 hingga 62 tahun untuk siasatan lanjut.
"Semua yang ditahan akan direman untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Kejadian ini menjadi tular setelah maklumat kehilangan mangsa dikongsi di sebuah akaun Facebook, dan kemudian dikemas kini dengan berita penemuan mangsa yang telah meninggal dunia.
Sumber: HarianMetro