Wow, Cantik Resort 'Glamping' Dekat Bintan Ni, Patut Jadi Buruan Instagrammer!

HOTEL
October 11, 2019 - 02:58 PM


Siapa dekat sini pernah terfikir atau mengidam untuk bercuti ke Pulau Bintan, Indonesia?

Sebenarnya jarang untuk rakyat Malaysia berkunjung ke Bintan, namun pulau itu sangat popular dalam kalangan penduduk Singapura apatah lagi sekarang semakin ramai yang berpusu-pusu melancong ke sana bagi merasai sendiri pengalaman perkhemahan mewah atau 'glamping'!

Baru-baru ini, terdapat 2 buah resort 'glamping' dibuka secara rasmi di Treasure Bay Bintan di atas tanah seluas 338 hektar.

Istimewanya, ia juga menawarkan sebuah lagun air laut buatan yang dikenali sebagai Crystal Lagoon, serta pelbagai premis menjual makanan dan minuman (F&B) serta pusat runcit di Chill Cove.

Jom kita tengok resort 'glamping' yang menjadi buruan para pengguna Instagram ini!

THE ANMON RESORT BINTAN

The Anmon Resort Bintan menawarkan pengalaman 'glamping' seakan-akan di Gurun Sahara.

Resort bertaraf 3.5 bintang ini menyediakan100 khemah 'teepee' yang berhawa dingin, dilengkapi dengan tempat tidur yang boleh diubah suai untuk menampung sehingga 4 orang tetamu.

Harga bagi setiap bilik bermula dari S$149 atau RM454.

Untuk ke sana, para tetamu hanya perlu menaiki feri selama sejam dari Singapura.

Khidmat bas ulang alik antara Terminal Feri Bandar Bentan Telani dengan The Anmon disediakan secara percuma.

Setiap perjalanan hanya mengambil masa sekitar 10 minit saja.

The Anmon dianggap sebagai sebuah resort yang serba mampan. Oleh itu, kelengkapan dandanan diri dan keperluan lain hanya akan disediakan atas permintaan tetamu.

Resort itu juga dilengkapi dengan mesin air bagi mengurangkan penggunaan botol plastik.

Khidmat wi-fi juga disediakan bagi anda yang ingin memuat naik gambar dan video ke laman media sosial.

Di The Anmon, para tetamu berpeluang menjamu selera hidangan barbeku di bawah cahaya langit malam, di luar khemah mereka.

Para pengunjung juga boleh menempah pengalaman makan malam di sebuah kelong dan menikmati pelbagai hidangan makanan laut di Restoran Makanan Laut Kampoeng Kelong, sambil menyaksikan matahari terbenam. Bayaran tambahan akan dikenakan.

Para tetamu The Anmon juga diberikan akses percuma untuk beriadah di Crystal Lagoon, sebuah lagun air laut buatan sebesar 50 kolam renang Olimpik yang menawarkan pelbagai kegiatan sukan laut.

 

NATRA BINTAN

Sebuah lagi resort yang menawarkan pengalaman 'glamping' adalah Natra Bintan, yang terletak tidak jauh dari The Anmon.

Dikenali sebagai The Canopi Bintan sebelum ini, resort yang terletak di Chill Cove di Crystal Lagoon itu diberi nafas baru dengan menyediakan pengalaman berkonsepkan alam semula jadi bagi semua tetamunya melalui pakej-pakej yang ditawarkan.

Seperti The Anmon, Natra juga menempatkan 100 khemah mewah dengan setiap satu boleh menampung sehingga 4 orang tetamu.

Setiap bilik berhawa dingin dan dilengkapi dengan khidmat wi-fi.

Harga bagi setiap bilik bermula dari S$175 atau RM533.

Untuk ke sana, anda perlu menaiki feri selama sejam dari Singapura. Khidmat bas ulang alik dari Terminal Feri Bandar Bentan Telani disediakan secara percuma.

Di Natra, para pengunjung boleh menjamu selera di Restoran Patio.

Namun sama seperti The Anmon, anda juga boleh menikmati hidangan barbeku dan makan malam di luar khemah masing-masing.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh lawati laman web mereka di https://www.theanmon.com/ atau https://www.marriott.com/hotels/travel/tnjtx-natra-bintan-a-tribute-portfolio-resort/.

Sumber: Today Online

Destination: 
;