50 Hotel Terpilih Di Kelantan Tawar Baucar Penginapan Kepada 5,000 Pengunjung Terawal
Anda ada perancangan untuk Cuti-Cuti Malaysia ke Kelantan bermula bulan depan?
Jika ya, anda mungkin pengunjung bertuah yang bakal menerima baucar penginapan hotel yang ditawarkan oleh kerajaan negeri di 50 buah hotel terpilih yang bernilai RM150,000.
Baucar penginapan tersebut akan diberikan bermula Ogos ini kepada 5,000 pengunjung terawal yang melawat Negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Menurut laporan Bernama, hotel yang terpilih akan menerima sebanyak 100 baucar bernilai RM30 setiap satu untuk diagihkan kepada 100 pengunjung terawal di hotel mereka.
“Peruntukan untuk insentif ini telah pun diluluskan dan ia adalah usaha daripada kerajaan negeri sebagai satu lonjakan kepada industri pelancongan khususnya sektor domestik yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
“Bagaimanapun pengunjung hotel dinasihatkan tetap mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah disarankan oleh Kementerian Kesihatan dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai langkah membendung penularan COVID-19 ketika berkunjung dan menginap di hotel,” kata Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman.
Selain baucar, kerajaan negeri turut menyalurkan sumbangan bernilai RM27,500 kepada 55 buah hotel di negeri ini bagi tujuan sanitasi hotel.
Daripada jumlah itu, sebanyak 17 hotel yang bertaraf empat bintang ke bawah serta 38 hotel bajet di negeri ini menerima sumbangan RM500 untuk tujuan sanitasi di fasiliti hotel masing-masing.
Dalam pada itu, kerajaan negeri kekal dengan sasaran 5.5 juta pelancong sempena Tahun Melawat Kelantan 2020 (TMK 2020), namun mengakui akan berlaku pengurangan berikutan penularan pandemik COVID-19.
Sumber: Bernama