The Baruh Glamping - Port Percutian Baharu Di Pantai Puteri, Melaka
Jika dahulu trend percutian di hotel menjadi pilihan, kini percutian secara perkhemahan semakin menjadi kegemaran ramai, bertemankan suasana damai alam semula jadi
Apatah lagi ditambah dengan bunyi air sungai mengalir, menjadikan bag sesetengah orang, aktiviti perkhemahan di tepi sungai sebagai terapi diri yang amat member ketenangan.
Ada juga yang memilih untuk menghabiskan masa bersama keluarga berkheman di tepi laut yang tidak kurangnya memberikan pemandangan serta kepuasan yang mengasyikkan.
Selain daripada menyewa khemah sendiri di tapak perkhemahan, kini konsep 'Glamping' yang merupakan gabungan 'glam' (glamour) dan 'camping' (berkhemah) turut menjadi pilihan masyarakat kerana keunikannya.
la menampilkan konsep glamor dengan dihiasi aksesori lengkap termasuk lampu berkelipan.
Berbeza dengan perkhemahan biasa, kawasan yang menyediakan glamping tidak memerlukan pengunjung membawa atau memasang khemah sendiri sebaliknya ia lengkap dengan kemudahan makanan dan tempat tidur yang selesa.
Trend ini menjadi fenomena baharu dalam landskap aktiviti percutian.
Minat mendalam terhadap aktiviti rekreasi luaran (outdoor) seperti mendaki, trekking membuatkan Anis Hartini Haron, 41, membuka The Baruh Glamping, pusat aktiviti perkhemahan berkonsepkan glamping ini, bersama keluarganya.
Terletak di Pantai Puteri, Tanjung Kling (Melaka), tapak perkhemahan ini terletak di tanah seluas sekitar 0.4 hektar milik keluarga Anis Hartini dan beroperasi sejak tahun 2021.
Menurut Anis Hartini yang juga pengurus pusat itu, pada asalnya, keluarganya mahu membuka inap desa di tanah berkenaan, namun beliau lebih berminat sekiranya ia digunakan untuk bisnes glamping.
"Konsep ini timbul selepas memikirkan ada segelintir orang mah cuba aktiviti perkhemahan, tetapi tidak mahu kerah tenaga memasang khemah dan sebagainya. Jadi glamping adalah konsep tepat untuk mereka yang mahu menghabiskan masa kegembiraan bersama keluarga selain tidak perlu penat dan bersusah payah membawa peralatan perkhemahan," katanya.
Beliau turut membuat penyelidikan terlebih dahulu tentang konsep glamping dengan mencuba sendiri pengalaman glamping di lima buah tempt di Malaysia iaitu Janda Baik, Bukit Jelutong, Shah Alam, Cameron Highlands dan Hulu Langat.
Keistimewaan di The Baruh Glamping adalah selain daripada lokasi yang menghadap ke laut, pengunjung dapat melakukan kegiatan memancing, menunggang kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), bermain congkak dan batu seremban, barbeku serta mandi laut.
Apa yang mengembirakan Anis Hartini, konsep glamping yang diketengahkannya itu turut mendapat sambutan bukan sahaja dari kalangan mereka yang berkeluarga dan kanak-kanak, tetapi turut menarik perhatian pengunjung warga emas.
"Respon baik selain kanak-kanak, warga emas banyak memberitahu saya mereka suka dengan konsep ini kerana ia berbeza daripada apa yang mereka sangkakan. Ada pelanggan kata dia risau tak boleh tidur sebelum datang ke sini, fikir tidur dalam hutan dan sebagainya, tetapi setelah datang, mereka teruja dan mahu datang lagi," katanya yang turut menerima pengunjung dari Perlis dan Johor.
Antara kemudahan yang disediakan di The Baruh Glamping adalah khemah keluarga termasuk kipas, penghawa dingin, dua katil dewasa untuk empat dewasa atau dua dewasa serta dua kanak-kanak.
Bayaran yang dikenakan bermula daripada RM342 semalam dan ke atas.
Untuk barbeku, bayaran RM55 seorang dikenakan untuk dewasa, kanak-kanak RM45 serta terdapat juga barbeku di tepi laut dengan harga RM75 untuk dewasa dan RM55 untuk kanak-kanak termasuk makanan dan minuman lain.
Bagi sebarang pertanyaan mengenai The Baruh Glamping ini, anda boleh menghubungi nombor 019-388 9015 atau layari Facebook rasmi mereka iaitu The Baruh Glamping.
Sumber: Bernama & Kredit Gambar: The Baruh Glamping