Berani Tidur Di "Hotel Gantung Tertinggi Di Dunia"? Ada Kat Negara Jiran, Indonesia Je!
Memandangkan kita semua dah lama tak melancong ke luar negara dan melakukan aktiviti yang tak pernah terlintas di fikiran -- apa kata kali ni kita start beraksi semula!
Jika korang ada yang mempunyai rancangan untuk bercuti ke Indonesia nanti, apa kata korang cabar keberanian diri dengan menginap di "Hotel Tergantung Paling Tinggi Di Dunia" iaitu SKY LODGE HOTEL PURWAKARTA.
Hotel ini yang terletak di Desa Sukamulya, Tegalwaru, Purwakarta, Jawa Barat berjaya mengalahkan Skylodge Adventure Suites di Peru yang terkenal sebagai hotel tertinggi yang ekstrem di kalangan para traveller dunia dengan ketinggian 122 meter.
Bagaimanapun, ketinggian hotel di Peru itu diatasi oleh hotel Indonesia ini yang lebih tinggi iaitu sekitar 400 hingga 900 meter dan berdiri kukuh di puncak Gunung Parang.
Sky Lodge Purwakarta ini mula dibuka kepada orang ramai pada 28 Oktober 2017 dan ramai yang kagum serta tidak melepaskan peluang menikmati pengalaman konsep percutian yang jarang didapati di dunia ini.
Untuk sampai ke hotel ini, setiap tetamu wajib memanjat tebing setinggi 500 meter dan menyeberang menggunakan cara menggantungkan badan pada tali (tyrolean) atau menggunakan tangga besi (via ferrata) untuk mendaki sebelum sampai ke tempat penginapan masing-masing.
Di sini terdapat keseluruhan 11 buah lodge dan bagi setiap satu lodge, ia boleh memuatkan kapasiti antara 4 hingga 5 orang dalam satu-satu masa.
Ditawarkan pada harga semalam sebanyak Rp5,000,000 (lebih kurang RM1464.00) -- reka bentuk hotel ini
menjadi perhatian kerana diperbuat keseluruhannya daripada kaca yang membolehkan tetamu menyaksikan sendiri keindahan dari puncak gunung selain pepohon menghijau di sekeliling kawasan tersebut.
Suasana pada waktu malamnya juga cukup memukau dengan udara sejuk.
Lantainya diperbuat daripada kayu yang kukuh dan setiap lodge dilengkapi katil, tv, bilik mandi, meja makan, tandas portable, microwave, walkie talkie, air minuman, penghawa dingin selain tirai untuk menutup kawasan
sekelilingnya.
Sekiranya anda dan rakan-rakan memang seorang kaki ekstrem dan suka mencabar adrenalin diri -- jangan lepaskan peluang sekali dalam seumur hidup merasai sendiri bagaimana rasanya bermalam seakan tergantung di tebing dengan ketinggian yang memecahkan rekod dunia!
Mesti jadi suatu kenangan yang takkan dapat dilupakan sehingga akhir hayat..hehehe