Homestay Di Labuan, Salah Satu Berada Di Perkampungan Air

HOTEL
October 07, 2019 - 04:17 PM


Digelar sebagai ‘Permata Borneo’, Labuan kalau nak ikutkan sejarah merupakan sebuah pulau yang menjadi rebutan suatu ketika dahulu. Kini mendapat status Wilayah Persekutuan, Labuan ini merupakan sebuah bandar pelabuhan dan ia terletak 10 kilometer dari pantai barat Sabah.

Mempunyai keluasan sekitar 92 kilometer persegi, Labuan mendapat nama daripada perkataan ‘Labuhan’ yang merujuk kepada pelabuhan dan pusat bandarnya dipanggil Bandar Victoria. Disebabkan kedudukan geografinya adalah di Sabah, ramai yang terkeliru dan sangkakan Labuan dibawah pentadbiran Sabah dan ada yang ingat Labuan ni sebahagian dari Sabah.

Mempunyai status sebagai pulau bebas cukai, ada pelbagai tarikan dan produk pelancongan yang menarik di Labuan ni. Salah satu daripadanya adalah program homestay atau inap desa.

Kalau nak diikutkan, homestay adalah salah satu produk pelancongan atau penginapan yang membolehkan kita bermalam di rumah pemilik serta melakukan aktiviti – aktiviti yang dilakukan oleh ‘tuan rumah’ atau masyarakat setempat.

Di Labuan, ada 3 kawasan homestay yang boleh korang pilih iaitu di;

#1. Homestay Sungai Labu

Terletak di Kampung Sungai Labu, homestay di sini adalah terletak di kawasan persisiran pantai yang cantik dengan pasir yang putih.

Dari segi binaan rumah, ianya adalah rumah tradisional melayu .

Aktiviti :

  • Berbasikal di sepanjang pantai (pantai ini memenangi anugerah kebersihan pantai dari UNESCO)
  • Memancing di persisiran pantai
  • Persembahan kebudayaan
  • Membuat makanan tradisional

Kalau dilihat aktiviti, memang kalau korang nak suatu pengalaman yang lain daripada yang lain, disinilah sepatutnya korang tuju. Dari pengalaman kami melawat homestay di kawasan lain, aktiviti yang dijanjikan memang berbaloi dan berkemungkinan makanan yang dimaksudkan adalah membuat kuih tempatan ataupun membuat ambuyat.

Menurut laman web, harga pakej adalah RM119 untuk 2 hari 1 malam. Minimum adalah 5 orang dan ini termasuk makan tengah hari, makan malam dan sarapan.

Selain itu ia termasuk dengan aktiviti memasak makanan tradisional.

Untuk pakej 3 hari 2 malam pula, harganya RM215 seorang. Minimum 5 orang. Sama seperti diatas Cuma tambahan aktiviti adalah berbasikal di persisiran pantai dan menikmati panorama matahari terbenam.

Untuk info lanjut, boleh hubungi penyelaras iaitu En. Anuar (+6 014-2260215), Pn Manah (+6 016-8460794) atau Hajah Jamaliah (+6 019-8821049).

 

#2. Homestay Bukit Kuda

Kampung Bukit Kuda terletak di sebelah takungan air semula jadi terbesar di Labuan iaitu empangan Bukit Kuda, yang membekalkan pulau ini dengan air bersih dan segar untuk kegunaan seharian.

Kampung Bukit kuda juga mempunyai infrastruktur yang sangat baik disamping kemudahan awam yang serba lengkap. Kalau diperhatikan, jalan untuk ke kawasan ini diturap sepenuhnya dan memasuki kampung ini, korang akan ‘disambut’ oleh kecantikan dan keindahan suasana kampung.

Kalau korang nak tahu, kampung ini adalah kampung contoh dan memenangi anugerah kampung terbaik di peringkat Labuan dan juga peringkat negara. Kebanyakan penduduk terdiri dari Muslim Kedayan dan majoritinya adalah petani.

Lagi satu plus point yang dibanggakan orang disini adalah hasil pembuatan mi ‘lidi’ dan juga minyak kelapa dara.

Aktiviti dan tarikan yang terdapat disini juga agak menarik iaitu ;

  • Melawat tamu (pasar tempatan)
  • Produk tempatan seperti Mi Lidi, Mi Kering dan Kuih Muih Tradisional
  • Persembahan Kebudayaan (Kedayan)
  • Aktiviti Kraftangan

Maklumat lanjut berkenaan homestay di Bukit Kuda boleh hubungi Tn. Haji Mustaffa (+60138511907), En Madzan (+60128289158) atau En. Supri (+60178344383)

 

#3. Homestay Patau – Patau 2

Jika dua homestay diatas tidak cukup ‘wow’, korang boleh cuba bermalam di Kampung Air Patau – Patau 2, atau namanya Kampung Patau – Patau 2. Ia merupakan sebuah perkampungan atas air dan mempunyai kira – kira 700 orang penduduk dan 65 buah rumah.

Walaupun ia perkampungan atas air, tapi kalau korang masuk ke rumah di sini, ianya tak kurang dengan rumah moden. Ada aircond, ada astro, dan lain – lain lagi.

Sebagai contoh, kami baru – baru ni sempat berkunjung ke salah sebuah homestay yand diusahakan oleh Puan Sahadiah @ Lizah. Yang bestnya kami diajar untuk membuat sendiri makanan tradisional popular mereka iaitu Ambuyat selain disajikan pelbagai jenis makanan tempatan.

Aktiviti dan tarikan yang terdapat disini adalah berkaitan dengan air dan laut jugak;

  • Merumpun belais, menjala dan membintur ketam – ini dalam bahasa mudahnya cara-cara nak menangkap ketam dari penyediaan pukat, penyediaan umpan sehinggalah proses menangkap ketam tu sendiri.
  • Menaiki sampan keliling kampung
  • Memancing ikan
     

Maklumat lanjut berkenaan homestay di Patau – patau 2 boleh hubungi Tuan Haji Sulaiman ( +6016 – 8246193), Puan Sahadiah @ Lizah (+6013-8540217) atau Puan Norlela (+6012-8148516)

Antara ketiga – tiga ni, semuanya menjanjikan pengalaman yang unik dan menarik selain korang boleh menikmati pemandangan cantik Labuan dan merasai sendiri pelbagai produk pelancongan atau aktiviti menarik di Labuan.

Untuk maklumat lanjut berkenaan homestay, boleh juga contact Perbadanan Labuan

Destination: 
;