Hotel Di Beijing Dah Boleh 'Check In', Asal Tetamu Negatif COVID-19
China sebagai negara yang mencetuskan pandemik COVID-19 dan paling awal berdepan pemulihan wabak itu kini semakin menjalani kehidupan normal.
Di Beijing, hotel-hotel di sana telah mulai membuka pintu untuk menerima para tetamu sejak 12 April lalu.
Bagaimanapun, hanya tetamu yang telah disahkan ujian saringan mereka adalah negatif koronavirus sahaja yang dibenarkan untuk menginap di hotel.
Pemerintah Beijing mewajibkan semua tetamu yang berhasrat untuk mendaftar masuk ke mana-mana hotel perlu terlebih dahulu mengemukakan laporan hasil negatif COVID-17 dan kod kesihatan berwarna hijau menerusi aplikasi telefon pintar yang dibangunkan kerajaan China untuk penduduknya.
Hasil ujian saringan tersebut haruslah yang terkini dan tidak melebihi tempoh 7 hari.
Para tetamu juga harus memberikan maklumat mengenai kenalan mereka di Beijing dan menerima syarat pengurusan kesihatan hotel.
Dengan itu, barulah pihak hotel akan bertanggungjawab untuk membuat pemeriksaan terhadap laporan kesihatan tetamu dan kemudian memantau suhu badan mereka sebanyak 2 kali sehari.
Polisi tersebut adalah bagi mengelakkan sebarang kegiatan yang melibatkan laporan kesihatan palsu oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
Ketika ini pihak berkuasa China mengambil langkah berjaga-jaga yang sangat ketat bagi menghadapi kemungkinan gelombang kedua jangkitan COVID-19 yang dibimbangi wujud oleh kehadiran individu dari luar negara atau pesakit tanpa gejala.
Suruhanjaya Kesihatan Nasional China mengatakan terdapat 46 kes baru dilaporkan pada hari Jumaat, termasuk 42 dari luar negara.
Sumber: THE STRAITS TIMES