Hotel Khas Untuk Wanita Patah Hati Yang Nak "Move On"
Sebuah hotel di United Kingdom (UK) menawarkan khidmat psikologi bagi membantu para wanita mengatasi tekanan perasaan akibat putus cinta dengan pasangan yang curang.
Hotel Heartbreak menawarkan program mewah Moving Beyond Betrayal selama tiga hari sebagai satu daripada cara untuk mempercepatkan proses pemulihan akibat putus cinta.
Lapor Daily Mail, pakar psikologi kaunseling dan pensyarah, Alice Haddon dari London melancarkan program tersebut pada tahun lalu yang ditujukan kepada wanita yang ingin mengubati hati luka akibat hubungan cinta yang sudah berakhir.
Program yang berharga 2,500 pound (RM14,189) diadakan di Barsham Barns, sebuah rumah persendirian mewah di pantai Norfolk, UK.
Katanya, program itu mengajar para wanita melupakan bekas kekasih mereka dan cara mengelakkan hubungan toksik pada masa hadapan.
Program itu diadakan pada Jumaat hingga Isnin dengan penyertaan maksimum lapan wanita.
Para tetamu juga boleh menikmati beberapa aktiviti menarik termasuk pemandangan yang menakjubkan dan pelbagai menu hidangan makanan bagi memberi inspirasi serta menyembuhkan hati yang ‘hancur’.
Sementara itu, Haddon berkata, pengalaman dari program itu sedikit sebanyak memulihkan keadaan wanita yang menderita pasca putus cinta dan meneruskan kehidupan lebih bermakna.
Sumber: Utusan Malaysia, Daily Mail