[Hotel Review] Palm Beach Resort & Spa, Labuan

October 03, 2019 - 11:25 AM


Penerbangan dua jam setengah dari Kuala Lumpur atau 30 minit dari Kota Kinabalu Sabah akan menemukan kita dengan salah satu daripada 3 Wilayah Persekutuan yang ada di Malaysia iaitu Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut sejarah, Labuan mendapat nama dari perkataan labuhan yang membawa maksud perlabuhan dan Labuan juga mendapat jolokan nama Permata Borneo dan terdapat 6 kepulauan atau pulau utama di Labuan iaitu Labuan, Pulau Daat, Pulau Papan, Pulau Burung, Pulau Kuraman, Pulau Rusukan Besar dan Pulau Rusukan Kecil.

Kalau nak tahu, dan mungkin jugak korang dah tahu, Labuan merupakan sebuah pulau yang BEBAS CUKAI.

Kalau ada perancangan nak ke sini, boleh menginap di banyak hotel yang ada sekitar Labuan. Salah satu daripadanya adalah Palm Beach Resort & Spa ini.

Terletak di Jalan Batu Manikar, resort yang didirikan di tepi pantai ini menawarkan 245 bilik pelbagai jenis yang sememangnya luas dan selesa. Apa yang kami perhatikan tempoh hari, resort ini sangat sesuai untuk percutian keluarga mahupun mereka yang travel atas urusan kerja.

Lokasi

Terletak 15 minit dari kawasan pusat bandar, boleh dikatakan resort ini agak ‘tersorok’ namun kemudahan yang ada serba lengkap.

Antara plus point yang boleh diambil kira adalah pemandangan Laut China Selatan termasuk panorama matahari terbenam selain resort yang terletak di kawasan Kampung Manikar yang ‘tidak terusik’ dengan pembangunan dan sebagainya.

Pilihan Bilik

Macam yang kitorang cakap awal tadi, ada 245 buah bilik kesemuanya dan daripada 245 buah bilik berkenaan, ada tiga jenis bilik iaitu Deluxe King atau Twin dengan pemandangan taman, Deluxe King atau Twin dengan pemandangan laut dan Suite King atau Twin dengan pemandangan penuh laut.

Pakej di hotel ini bermula daripada RM262 untuk bilik deluxe (pemandangan taman). RM403 untuk deluxe pemandangan laut dan RM550 untuk suite.

Pakej yang disediakan termasuk penginapan untuk satu malam, minuman selamat datang, sarapan pagi untuk dua orang, penggunaan swimming pool resort (tetamu luar perlu membayar RM10 untuk menggunakan swimming pool), WIFI, pengangkutan dari dan ke Lapangan Terbang Labuan serta Shuttle PERCUMA ke bandar Labuan.

Nota Editor : Dengan harga yang sebegitu, memang berbaloi sangat -sangat kalau bermalam disini. Bilik luas dan selesa.

Kemudahan Bilik dan Aktiviti

Satu perkara yang kami suka untuk bilik di hotel ini adalah ianya lengkap dengan tv kabel selain ada working area dan tandas yang luas dan selesa. Tak lupa juga bilik yang kami dapat ni ada kedua dua pemandangan garden dan laut pada masa yang sama.

Untuk plug point, tak perlu nak berebut atau risau sebab memang banyak! Walaupun dalam bilik ada katil twin, boleh kami katakana keluasannya sangat puas hati. Biasanya kalau bilik hotel yang ada dua katil twin ni, dia agak sempit, tetapi bukan disini. Luas!  Boleh main lari – lari lagi.

Dari segi aktiviti atau rekreasi; korang boleh tanyakan di kaunter hotel tapi dari apa yang kami nampak mereka ada sediakan aktiviti berkayak, berbasikal, jungle trekking, bola tampar dan juga bola sepak pantai.

Jadi, kalau anda datang dengan keluarga, sangat bersesuaian. Kalau taknak mandi kolam, boleh mandi di laut yang beberapa meter sahaja dari hotel.

Selain daripada itu semua, kemudahan Spa juga turut disediakan dengan bayaran tambahan lah ye.

Makanan

Salah satu signature dish yang ada di resort ini adalah Pizza! Apa yang membuatkan pizza mereka lain daripada yang lain adalah mereka membakar pizza dalam sebuah oven yang menggunakan arang. Satu-satunya di Labuan!

Rasa dia? Kalah jenama – jenama yang ada di Malaysia ni. Tak tipu!

Untuk sarapan pula, konsep dia adalah buffet dan dari segi pilihan, tidaklah terlalu banyak namun puas hati!

Maklumat lanjut boleh ke www.palmbeachresortspa.com atau hubungi +6087 418 700. Untuk pertanyaan tentang pakej dan lain – lain, boleh hantarkan ke [email protected]

Alamat : Jalan Batu Manikar, Kg batu Manikar, 87014 Labuan, Malaysia.

Destination: