Hype Motorsport PD - Hotel Butik Resort Pertama Di Asia Berkonsepkan Permotoran

HOTEL
February 21, 2020 - 10:48 AM


Kalau korang peminat bidang permotoran atau sukakan penginapan berkonsep unik dan agak luar biasa --- mungkin korang boleh cuba bercuti ke Port Dickson serta bermalam di HYPE MOTORSPORTS HOTEL!

Hotel butik resort pantai pertama di Malaysia & Asia yang tampil dengan tema dunia permotoran ini terletak di lokasi yang cukup strategik iaitu berhampiran pantai popular, Pantai Teluk Kemang bersebelahan Dataran Teluk Kemang.

Semalam pada tarikh yang begitu cantik iaitu 20.02.2020, hotel yang dipanggil sebagai Hype PD ini telah dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Mula beroperasi sejak 15 Disember lalu, Hype PD menawarkan 64 bilik yang direka unik berkonsepkan permotoran sepenuhnya menerusi susun atur kerusi, katil, paparan grafik serta dekorasi menarik yang cukup teliti.

Konsep permotoran turut jelas dapat dilihat menerusi bilik bertemakan legenda permotoran dunia seperti pelumba pasukan Ferrari Formula Satu (F1) terkenal, Michael Schumacher selain pelumba motosikal terkemuka, Marc Marquez, Valentino Rossi, pelumba motocross Tony Cairoli, pemandu rali, Sebastian Loeb dan pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin.

Jenis bilik yang disediakan terdiri daripada bilik Standard Twin atau Standard Queen, Superior Twin atau Superior King, Deluxe Twin atau Deluxe King dan Premier Triple (pilihan 2 bilik bersambungan) yang ditawarkan pada harga dari RM180 ke atas termasuk sarapan pagi.

Apa yang menarik ialah di setiap 20 bilik kategori Deluxe, Premier dan Premier Triple turut dilengkapi kerusi urut yang mana anda boleh menggunakan kerusi urut itu tanpa had selain kemudahan WiFi disediakan secara percuma.

Kemudahan lain seperti seterika, saluran sukan Astro Sports dan 10 saluran tempatan, peti simpanan keselamatan, peti sejuk mini, kerusi ala perlumbaan atau bucket seat, kad kunci sentuh serta 2 buah bilik bagi tetamu Orang Kurang Upaya (OKU) membuatkan resort ini sebagai resort pertama di Malaysia yang memberi keselesaan seperti ini kepada pelanggan.

Antara kelebihan yang lain adalah tetamu akan menerima servis “mencuci kereta atau motosikal” secara percuma termasuk terma dan syarat, yang akan bermula pada 15 Mac depan.

Untuk menginap di hotel ini, ia hanya sejauh 45 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) serta kira-kira 1 jam 30 minit perjalanan dari Kuala Lumpur.

Selain 2 kolam renang disediakan iaitu kolam dewasa dan kanak-kanak yang lengkap dengan gelungsur, permainan simulator kereta lumba, mini sirkit bagi kanak-kanak bawah 12 tahun, meja snuker dan foosball turut disediakan.

Bagi mana-mana syarikat korporat, persatuan, kelab atau individu yang ingin menganjurkan sebarang bengkel atau mesyuarat, kemudahan bilik mesyuarat yang lengkap dengan pelbagai kemudahan disediakan di tingkat atas.

Pembinaan hotel ini diilhamkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Johari Mohd Yusof yang juga merupakan bekas pelumba motosikal negara di era tahun 80 dan 90-an.

Kalau korang ada geng-geng kelab bikers atau kereta boleh juga jadikan hotel ini sebagai lokasi pertemuan kerana kawasannya cukup luas untuk menganjurkan pelbagai acara yang dirancang, malah Pantai Teluk Kemang hanya terletak di belakang hotel sahaja.

Lebih menarik, kalau korang, keluarga atau rakan-rakan merupakan 'hantu durian' -- Hype PD juga bermula 1 Jun hingga 15 Ogos 2020 ini bakal menawarkan "HYPE Durian Fest” di mana resort ini menyediakan buah durian di dalam pakej penginapan.

Haa..best kan, mana nak cari hotel yang membenarkan makan durian dalam premisnya! Hehehe...

Sumber & Kredit Foto: Prebiu.com

Destination: 
;