Moon Kissed by The River - Port Glamping Baru & Cantik Tepi Sungai Di Hulu Langat

October 06, 2021 - 01:04 PM


Selain memilih staycation di hotel dan resort peranginan, ramai juga yang mula mencari-cari lokasi percutian untuk berkhemah atau glamping yang dekat dengan sungai, air terjun serta alam semulajdi yang menenangkan bagi melarikan diri seketika daripada rutin kesibukan harian yang membosankan.

Selepas Kerajaan telah membenarkan untuk aktiviti rentas daerah, ramai yang mengambil kesempatan itu membawa keluarga dan anak-anak berkelah, berkhemah serta berpiknik sehingga ada kawasan yang telah viral disebabkan terlampau sesak akibat diserbu pengunjung.

Bagi anda yang tercari-cari port glamping atau berkhemah yang jarang diketahui orang ramai dan yang pasti selamat kerana boleh melakukan penjarakan fizikal daripada orang lain adalah di Moon Kissed by The River -- sebuah tapak perkhemahan yang terletak di Sungai Semungkis, Hulu Langat, Selangor.

Selain ianya merupakan sebuah kawasan persendirian yang boleh anda kunjungi untuk pengalaman percutian yang menyeronokkan dan tidak bersesak-sesak -- port glamping ini juga sebenarnya baru sahaja dibangunkan pada Februari 2021 dan dibuka kepada orang ramai bermula April lalu.

Dek kerana itulah, masih ramai yang tidak tahu tentang kewujudan tempat glamping best ini.

Moon Kissed by The River menyediakan 2 jenis khemah kepada pengunjung iaitu khemah biasa dan khemah glamping yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuklah tilam, rak penyidai baju, karpet, kipas dan juga air cooler.

Bukan saja barang keperluan asas, malah hammock, kerusi meja, tempat BBQ persendirian juga disediakan jika anda memilih unit glamping dengan sewa semalam RM250 termasuk sarapan.

Jadi tak perlu berebut dengan tetamu tetamu lain dan anda juga boleh masak serta makan mengikut waktu yang anda mahukan.

Sepanjang bercuti di sini, bayangkan dengan berlatar belakangkan alam semulajadi yang menghijau -- anda bersama keluarga atau teman-teman rapat boleh bermandi-manda di tepi sungai, minum kopi panas dalam kedinginan malam serta ber-BBQ di tepi khemah masing-masing. Memang seronok, kan! 

Bagi mengetahui maklumat lanjut mengenai port glamping Moon Kissed by The River, anda boleh ikuti Instagram mereka @moonkissedbytheriver atau hubungi mereka di talian 019-883 3980.

Kredit Gambar: Twitter @myjassaramli

Destination: