Sedihnya! Holiday Villa Subang Tutup Buat Selamanya

October 07, 2021 - 09:25 PM


Kebelakangan ini, negara dikejutkan dengan penutupan beberapa hotel terkemuka sejak wabak COVID-19 melanda negara bermula awal tahun 2020. 

Namun, dengan kelonggaran yang diberikan sedikit demi sedikit, ramai yang menyangkakan, industri yang berkait rapat dengan pelancongan dapat bernafas semula, dan mungkin lebih banyak perniagaan dapat diselamatkan. 

Malang sekali, Holiday Villa Hotel & Conference Centre di Subang Jaya telah mengumumkan di Instagram mereka yang mereka telahpun tutup buat selama-lamanya berkuatkuasa 1 Oktober lalu. 

Menerusi kenyataan yang dimuatnaik itu, pihak Holiday Villa Subang memaklumkan keputusan itu dibuat berikutan terkesan dengan situasi pandemik yang melanda dunia.

Untuk rekod, hotel ini memulakan operasi mereka sejak tahun 1988 dan merupakan lokasi yang popular bagi lokasi perkahwinan, acara mahupun mesyuarat.