Selamat Tinggal Berjaya Tioman Resort!

June 15, 2020 - 12:14 PM


Mesti ramai antara kita terutama para traveller yang suka bercuti di hotel menarik tepi pantai, terkejut dengan perkhabaran terbaharu yang dilaporkan media baru-baru ini mengenai penutupan sebuah hotel terkemuka di Pulau Tioman.

Jumaat lepas, Berjaya Tioman Resort yang sudah beroperasi selama 50 tahun diumumkan bakal menamatkan sepenuhnya operasi mereka bermula hari ini (15 Jun), selepas terkesan dengan penularan COVID-19.

Pengurusanan kanannya dalam satu kenyataan berkata semua kakitangan di resort itu akan diberhentikan serta diberi pampasan sewajarnya membabitkan kos RM8 juta.

"Adalah dengan berat hati diumumkan bahawa Berjaya Tioman Resort akan menghentikan operasinya berkuatkuasa 15 Jun ini, disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang belum pernah terjadi sebelum ini, yang memberi kesan buruk kepada industri pelancongan.

"Sepanjang penutupan ini, pihak pengurusan akan menjalankan pembangunan semula yang amat diperlukan untuk menghidupkan semula resort ini, yang berusia lebih daripada 50 tahun," katanya.

Ia berkata, selepas selesai kerja pembangunan semula dibuat, pihak pengurusan akan mempertimbangkan untuk menawarkan peluang pekerjaan baharu kepada semua pekerja kami yang terjejas.

"Kami mengucapkan terima kasih di atas kesungguhan mereka untuk terus bersama dengan kami ketika di waktu susah dan senang," katanya.

Berjaya Tioman Resort adalah sebahagian daripada portfolio yang dimiliki oleh Berjaya Land Bhd.

Di Malaysia, Berjaya Land turut mempunyai resort lain di Langkawi, Pulau Redang, Bukit Tinggi serta hotel di beberapa kawasan di Asia dan Eropah.

Kumpulan itu memiliki dan mengendalikan 13 hotel dan resort di dalam dan di luar negara.

P/S: Sedih, kan bila tengok banyak hotel terpaksa gulung tikar! Selamat tinggal Berjaya Tioman Resort...

Sumber: Berita Harian

 

Destination: