'Terramalai' Tawar Percutian Di Rumah Tradisional Melayu Berusia Lebih 100 Tahun!

April 28, 2022 - 02:53 PM


Jika bercuti ke Terengganu dan inginkan sebuah percutian umpama berada di keindahan Istana Melayu zaman dahulu kala, anda wajib menginap di Terrapuri.

Namun kalau anda mengimpikan pula sebuah percutian seakan mengimbau kenangan di rumah datuk dan nenek kita dahulu iaitu rumah warisan tradisional -- anda boleh cuba bercuti TERRAMALAI.

Terramalai atau Tanah Senibina Melayu, menyediakan beberapa jenis rumah tradisional berusia lebih 100 tahun dari negeri-negeri di Semenanjung. di atas kawasan seluas 1.012 hektar.

Setakat ini tiga buah rumah negeri yang menelan kos lebih RM1 juta telah didirikan di Terramalai yang berlokasi di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit.

Lebih menarik, rumah warisan negeri itu bukan sahaja boleh dilawati -- malah orang ramai juga boleh menginap dan mendalami keunikan rumah negeri mengikut pilihan mereka.

Tiga unit rumah tradisional yang telah tersedia ialah Rumah Terengganu, Rumah Kelantan dan Rumah Negeri Sembilan.

Kesemua rumah tersebut turut dilengkapi hiasan dalaman artifak unik bagi negeri masing-masing.

Apabila pelancong mengunjungi rumah ini, sebagai contoh Rumah Terengganu, mereka akan dapat menikmati suasana keindahan hiasan dan keunikan di Terengganu.

Himpunan rumah purba mengikut negeri itu dibuka kepada pengunjung Jun 2021.

Selain kediaman warisan yang berusia ratusan tahun, Terramalai juga akan lengkapi dengan 5 buah istana lama.

Pastinya keunikan senibina yang terukir di rumah mewakili setiap negeri di Malaysia itu mampu memikat orang ramai untuk melihatnya secara dekat.

Untuk rekod, Terramalai ini juga merupakan kesinambungan selepas kejayaan membina Terrapuri Heritage Village di Kampung Mangkuk, Setiu.

Sumber: Astro Awani & Kredit Gambar: Beautiful Terengganu Malaysia

Destination: