10 Lokasi Selam Skuba Paling ‘Wow’ Di Malaysia!
Aktiviti selam skuba di Malaysia cukup terkenal di peta dunia memandangkan negara kita dikurniakan khazanah alam dan laut dalam yang indah terutama di kawasan timur Semenanjung serta di Sabah.
Malah, tak dinafikan ada pelancong datang ke Malaysia hanya semata-mata untuk melakukan aktiviti selam skuba kerana bagi mereka lokasi menyelam di negara ini ibarat 'syurga' yang tiada di negara lain.
Jadi, jom kita tengok senarai lokasi selam skuba yang paling ‘Wow’ dekat Malaysia.
1. Pulau Sipadan, Mabul & Kapalai (Sabah)
Tiga pulau serangkai ini digelar sebagai tapak selam skuba terbaik di Malaysia, malah Pulau Sipadan dinobat sebagai destinasi ke-5 terbaik dunia! Ketiga-tiganya disenaraikan sekali kerana ramai penyelam yang suka ‘sekali jalan’ ke pulau-pulau ini.
Pulau ini dihuni lebih 3,000 spesies ikan dan 100 terumbu karang, menjadi persinggahan penyu sisik dan belimbing untuk bertelur serta mempunyai santuari burung. Bagi memelihara khazanah alamnya, di Sipadan contohnya, hanya membenarkan 120 penyelam skuba sehari untuk meneroka keindahan pulau tersebut.
2. Pulau Layang-Layang (Sabah)
Pulau ini juga dikenali sebagai Terumbu Layang-Layang kerana ia merupakan pulau buatan manusia yang dibina daripada konkrit di atas beting pasir besar. Pulau ini timbul hampir 2000 meter dari dasar laut.
Berukuran sepanjang 1.2 km dan selebar 200 meter, pulau berbentuk bujur ini amat menarik dengan pelbagai pemandangan dasar laut yang mengagumkan, kepelbagaian batu karang dan ikan terumbu, termasuk haiwan laut dalam (pelagik) yang menjadi daya tarikan kepada para penyelam.
3. Pulau Lankayan (Sabah)
Pulau Lankayan terletak 15 kilometer dari Sandakan. Lankayan ibarat ‘syurga’ buat penyelam skuba kerana pulau ini kaya dengan hidupan marin mikro seperti nudibranches, prawn gobies dan coral shrimps. Namun, ramai yang mengunjungi pulau ini kerana tertarik dengan whale shark dan penyu hijau serta hawkbill yang mendiami dasar lautnya.
4. Pulau Redang, Perhentian & Tenggol (Terengganu)
Pulau-pulau di Terengganu sememangnya terkenal dengan keindahan pantai serta ekosistem dasar laut yang mengagumkan. Di Redang dan Perhentian juga mempunyai banyak tapak selaman sempurna untuk golongan yang ingin mengikuti kursus menyelam skuba. Malah, harganya antara yang termurah di Malaysia.
Baca juga: Beroperasi Semula, Ini 12 Pulau Tercantik Terengganu Untuk Korang Rileklah!
5. Pulau Tioman (Pahang)
Pulau Tioman adalah satu pulau yang kecil di negeri Pahang. Sebahagian besar pulau ini terdiri daripada hutan tebal dan di dalam lautannya kaya dengan khazanah laut terumbu karang yang menjadikan Tioman sebagai lokasi popular kepada penyelam serta mereka yang meminati aktiviti snorkelling.
6. Pulau Payar (Kedah)
Pulau Payar antara 42 pulau di Malaysia yang diwartakan Taman Laut pada 1989 dan sering menerima kunjungan pelancong. Ia terletak kira-kira 45 minit perjalanan menaiki bot dari Kuala Kedah dan sejam perjalanan dari Pulau Langkawi.
Pulau ini sering menjadi pilihan untuk aktiviti menyelam dan snorkeling kerana dikelilingi terumbu karang berwarna-warni dengan airnya yang membiru. Malah, jangan terkejut kalau ada yang terserempak ikan yu sirip hitam bebas berenang tanpa sebarang ancaman. Selain kehadiran pelbagai jenis ikan menemani pelancong menyelam sambil menikmati keindahan terumbu karang.
7. Pantai Kemasin & Pantai Sabak (Kelantan)
Jika pulau lain digemari para penyelam skuba kerana kaya dengan khazanah dasar laut yang menakjubkan, lain pula ceritanya dengan 2 destinasi menyelam popular di Kelantan ini yang penuh dengan sejarah luar biasa.
Sebuah rangka kapal pengangkut tentera Jepun dalam Perang Dunia ke-2, ‘Awajisan Maru’ telah tenggelam di dasar laut perairan Pantai Sabak manakala banyak tukun tiruan yang melambangkan identiti budaya Kelantan seperti gong, rebana ubi, congkak, beca dan terumbu karang payung ada di Pantai Kemasin.
8. Blue Hole, Lahad Datu
‘Blue Hole’ atau Lubang Biru berkembar ini merupakan penemuan terbaru yang diumumkan bulan lepas dan dijangka menjadi tapak selam skuba ikonik dunia! Terletak di Terumbu Tingkayu yang hanya mengambil masa 30 minit menaiki bot dari Teluk Darvel, Lahad Datu --- Blue Hole adalah satu kawasan seperti lagun dan memiliki paras kedalaman sekitar 15 meter atau 45 kaki.
Ia berada di tengah laut dan jauh dari persisir pantai serta kaya dengan terumbu karang yang cantik dan sihat. Menyelam skuba di sini bakal memberikan satu pengalaman mempesonakan seakan-akan seperti menyusuri permatang gunung di permukaan laut. Malah, ia juga boleh dijadikan tapak aktiviti ‘sea-walking’.