5 Homestay Terbaik Untuk Dikunjungi, Dekat Je Dari KL!

September 26, 2019 - 11:18 AM


Kalau anda perasan antara satu keunikan dan keistimewaan Malaysia adalah kawasan luar bandar atau "kampung" yang cantik serta mendamaikan.

Bagi siapa yang ingin lari dari kesibukan kota Kuala Lumpur dan menikmati kehijauan panorama indah, anda mungkin boleh 'sweet escape' sebentar ke Wilayah Tengah iaitu Selangor dan Negeri Sembilan untuk menginap di homestay.

Dalam masa kurang dua jam, anda akan mendapati diri anda telah berada di suatu lokasi persis seperti kampung tempat anda lahir atau dibesarkan. Seronok, kan bila dapat mengenang kembali zaman kecil-kecil dulu...

Berikut adalah 5 Kampung Homestay terbaik yang boleh anda pilih untuk merasai percutian desa yang menarik dan telah memenangi Anugerah Pelancongan ASEAN tahun 2019-2021 pada awal tahun ini di Ha Long, Vietnam. 

 

1. KAMPUNG SUNGAI SIREH, SELANGOR

Kampung Sungai Sireh yang berkeluasan 1,000 ekar ini cukup mendamaikan apabila dikelilingi hutan rizab yang hijau dan tebal, ditambah hiasan permaidani tanaman padi yang berwarna kuning keemasan dan hanya menunggu masa untuk dituai sekitar bulan Mei dan September.

Tambah menyejukkan mata apabila kampung ini juga dilengkapi dengan sungai-sungai kecil, terusan dan laut.

Jika menginap di sini, anda akan dibawa melakukan pelbagai aktiviti kampung oleh keluarga tuan rumah dan paling menyeronokkan apabila dapat berkayak menelusuri air sungai untuk meneroka flora dan fauna unik yang ada di kawasan sekitarnya.

Bagi yang suka melihat kehijauan sawah padi yang terbentang luas, anda akan dibawa melihat sendiri bagaimana proses pengairan dilakukan oleh penduduk kampung dengan menggunakan teknologi yang diimport dari Korea. Memang mengagumkan!

Alamat: Homestay Sg. Sireh, Kampong PT 1, Sg. Sireh, 45500 Tanjung Karang, Kuala Selangor, Selangor

Orang Yang Perlu Dihubungi: En. Abu Bakar bin Moin

Tel: 019 346 7372

Facebook: https://www.facebook.com/homestaysgsireh/

 

2. KAMPUNG BANGHURIS, SELANGOR

Banghuris Homestay yang memenangi Anugerah Pelancongan ASEAN adalah Inap Desa yang mewakili 3 buah kampung iaitu Kampung Bukit Bangkong, Hulu Chuchoh dan Hulu Teris.

Kampung kecil yang indah ini terletak tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan terkenal dengan bidang pertanian. Jadi, jangan terkejut kalau sebaik tiba di sini anda melihat kopi, getah dan ladang kelapa sawit di samping ladang ikan air tawar dan buah-buahan buah-buahan.

Industri perniagaan kecil juga berkembang maju di sini dan sangat popular dengan produk seperti kuih buatan sendiri, kerepek ubi dan pelbagai makanan ringan tempatan yang lain. 

Jika anda memilih untuk merasai kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri di kampung ini, anda merasai suasana "merewang" atau masak bersama penduduk kampung yang sangat havoc dan menyeronokkan!

Alamat: Homestay Banghuris, Lot 1829, Jln. Tailong, Kg. Ulu Chuchuh, 43950, Sg. Pelek, Sepang, Selangor.

Orang Yang Perlu Dihubungi: Encik Basir bin Wagiman

Tel: 013 300 3942

Facebook: https://www.facebook.com/YokMampirBanghuris/

 

3. KAMPUNG PACHITAN, NEGERI SEMBILAN

Kampung ini dihuni kira-kira 1,000 penduduk Negeri Sembilan yang dipelopori oleh warga dari Jawa Timur, Indonesia, yang datang untuk menetap di sini pada tahun 1920-an sebagai petani padi.

Kemudian, tanaman di sini berkembang kepada ladang sawit dan getah yang akhirnya menjadi daya tarikan kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.

Jika ke sini anda bukan sahaja ditawarkan dengan luasnya ladang-ladang tanaman, bahkan pemandangan pantai yang indah dan mempesonakan.

Aktiviti yang paling digemari oleh pelancong jika menginap ke sini adalah berkanu di sepanjang kawasan bakau, menangkap burung, memancing di jeti atau duduk bersantai di tepi pantai sambil mengutip kerang untuk dijadikan hidangan mereka.

Uniknya di Kampung Pachitan ini kebudayaan dan tradisi Jawa masih tetap utuh dan dimanifestasikan dalam bahasa yang digunakan, makanan, muzik dan permainan. Sebagai contoh, pengunjung ke Kampung Pachitan pastinya akan dapat menikmati juadah popular masyarakat Jawa iaitu Nasi Ambeng!

Alamat: Homestay Kampung Pachitan, No.37, Taman Nuri Fasa 1, Jalan Besar Chuah, 71960 Chuah, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Orang Yang Perlu Dihubungi: Encik Ahmad Nadzri

Tel: 019 385 9793

Facebook: https://www.facebook.com/PachitanMalaysia/

 

4. KAMPUNG LONEK, NEGERI SEMBILAN 

Kampung Lonek antara kampung yang memang popular dengan perkhidmatan homestay terbaik di negara ini.

Berlatarbelakangkan pemandangan sawah padi yang berbentang luas, penduduk di kampung ini sangat berbangga dengan budaya dan warisan Adat Perpatih yang disanjung mereka.

Anda dapat melihatnya menerusi dialek percakapan Orang Nogori yang pekat serta masakan terkenal mereka iaitu daging salai masak lemak cili api. Memang terangkat habis!

Jika ke kampung ini, anda berpeluang mencuba sendiri permainan tradisional Kampung Lonek seperti menggolek rim roda basikal, boling kelapa dan Tarik Upih Pinang.

Malah, anda juga tidak boleh melepaskan pengalaman untuk merasai sendiri aktiviti "mengocak ikan" atau menangkap ikan di sawah yang memang sangat mencabar dan menyeronokkan.

Alamat: Homestay Kampung Lonek No. 10, Kampung Lonek, 72200 Batu Kikir, Negeri Sembilan.

Orang Yang Perlu Dihubungi: Cik Hajah Nor Asiah bt Haron

Tel: 06-498 1078/012 691 5482

Facebook: https://www.facebook.com/homestaylonek/

 

5. HOMESTAY RAWA, NEGERI SEMBILAN

Kalau sebut tentang Homestay Rawa, satu pengalaman paling unik yang ditawarkan kepada pengunjung adalah kuda!

Ini kerana anda akan menunggang kuda sebagai cara terbaik untuk mengelilingi serta menikmati keindahan Kampung Rawa.

Antara lokasi yang akan dilalui adalah kebun buah-buahan, kawasan ladang getah dan lereng bukit.

Paling seronok jika anda ke sini pada musim buah, sebab anda dapat menikmati buah-buahan yang segar dari ladang seperti nangka, manggis, durian, rambutan, langsat dan sebagainya.

Bagi yang suka memasak, para wanita di kampung ini juga sangat berbesar hati untuk berkongsi resipi rahsia dalam membuat hidangan manisan dan kuih-muih terkenal mereka seperti godok golumang (pisang goreng  yang disalut dengan gula coklat karamel) dan kuih bahulu yang dibakar menggunakan arang.

Alamat: Homestay Rawa, Lot 23, Lorong KRU 10, Kampung Rawa Hilir, 71750 Lenggeng Negeri Sembilan

Orang Yang Perlu Dihubungi: Cik Saadiah Othman

Tel: 019 354 4472

Facebook: https://www.facebook.com/asequine1/