5 Hotel Butik Unik & Menarik Di Bandung
Selain pulau-pulau yang terkenal di Indonesia, pelancong terutama dari Malaysia juga sering menjadikan Kota Bandung di Jawa Barat sebagai pilihan destinasi percutian mereka.
Selain menawarkan pelbagai lokasi menarik untuk dilawati seperti Trans Studio Bandung, Dusun Bambu, Kawah Putih Ciwidey, Rumah Mode, Kampung Daun, Dago Dream Park, Pasar Terapung Lembang dan Tangkuban Perahu --- makanan, pakaian dan kain lace yang murah juga menyebabkan Bandung sangat popular sebagai lokasi pelancongan.
Malah, kota ini juga menyediakan pelbagai jenis penginapan yang selesa dan mempesonakan dari semewah-mewah hotel 5 bintang hingga kepada guest house bajet, dan berikut disenaraikan 5 hotel butik unik yang sering menjadi pilihan pelancong apabila berkunjung ke Kota Bandung.
1. BLACKBIRD
Hotel butik sememangnya sangat cantik sebagaimana jika anda lihat menerusi apa yang dipaparkan di media sosial. Reka bentuk hotel ini sangat ringkas, berkonsepkan moden dan ada sedikit unsur-unsur gaya retro yang diterapkan.
Di antara empat jenis bilik yang ditawarkan di sini, bilik jenis "besar" yang berada di ground floor dilengkapi dengan tab mandi, teres, kerusi berayun dan meja tulis retro.
Hotel ini turut menyediakan pelampung untuk berenang di kolam renangnya dan anda patut cuba menjamu selerea di Restoran Como Sea mereka yang menghidangkan masakan lazat untuk para tetamunya.
Alamat: Jl. Sersan Bajuri di Lembang, Bandung.
Harga Semalam: RM 119
2. KOLLEKTIV
Bagi anda yang sukakan bilik penginapan yang unik dan lain dari yang lain, hotel butik Kollektiv ini satu pilihan tepat buat anda. Ini kerana bilik-bilik hotel ini dibina daripada bekas kontena dan direka semula dengan gaya hiasan industri.
Bilik jenis double deluxe mempunyai ruang tamu yang luas dengan sofa dan kerusi berlengan untuk anda menghabiskan masa yang berkualiti dengan kawan-kawan anda sambil menghirup kopi. Bagi anda yang mungkin bercuti bersendirian atau dengan pasangan, bilik superior pun dah lebih dari selesa untuk anda berehat.
Restoran Hara yang ada di hotel ini juga sering menjadi pilihan pelancong untuk menjamu selera. Jadi tak perlu jauh-jauh kalau tiba-tiba perut anda berbunyi dan minta diisi.
Rekabentuk restoran ini memang popular di kalangan anak muda Bandung untuk bergambar Instagram!
Alamat: Jl. Prof. Dr. Sutami No.62, Sukarasa, Kec. Sukasari, Bandung
Harga Semalam: RM118
3. U JANEVALLA
Hotel butik ini yang terletak di tengah-tengah Kota Bandung ini terkenal dengan jolokan sebagai 'the dancing hotel' kerana reka bentuk dan seni binanya yang tidak teratur dan seakan-akan beralun.
Menariknya hotel ini, jika anda tinggal selama 1 malam di sini, waktu daftar keluar anda akan dikira betul-betul hingga 24 jam daripada waktu daftar masuk. Jadi memang berbaloi kalau menginap di U Janevalla!
Malah, sebagai tetamu anda juga ditawarkan dua minuman percuma dari bar mininya dan dua bar sabun khas yang anda boleh pilih semasa mendaftar masuk. Anda juga boleh menghabiskan masa untuk berenang di kolam infiniti hotel ini.
Alamat: Jl. Aceh No.65, Citarum, Kec. Bandung Wetan, Bandung
Harga Semalam: RM184
4. MOXY BY MARRIOTT
Sebagai sebahagian daripada rantaian hotel antarabangsa yang besar, Moxy Bandung adalah satu-satunya hartanah terkenal di Asia Tenggara, dengan dua lagi di Jepun dan berpuluh-puluh di Amerika Syarikat dan Eropah.
Dengan meja pool, meja foosball dan board games yang terdapat di lobi, Moxy sememangnya sangat sesuai kepada golongan muda yang sukakan keseronokan kerana hotel ini juga mempunyai bar atas bumbung!
Alamat: Jl. Ir. H. Juanda No.69, Tamansari, Kec. Bandung Wetan, Bandung
Harga Semalam: RM178
5. DE BRAGA BY ARTOTEL
Hotel butik ini dibina di bangunan yang dahulunya ditempatkan Gedung Sarinah yang terkenal di kalangan penduduk Indonesia.
De Braga ini juga hanya terletak kira-kira 5 kilometer dari pusat beli-belah terbesar yang ada di Bandung iaitu Trans Studio Mall.
De Braga ini juga popular dengan hasil seni anak-anak muda Bandung menerusi lukisan mural serta hiasan dinding di bilik-bilik hotel dan keseluruhan hotel.
Kalau anda menginap di sini, anda pasti tidak akan bosan kerana hanya dengan berjalan kaki melalui Jalan Braga, anda boleh singgah menghirup kopi di Kedai Kopi Djawa dan makan siang di restoran Braga Permai yang penuh dengan nostalgia.
Alamat: Jl. Braga No.10, Braga, Kec. Sumur Bandung, Bandung
Harga Semalam: RM129