Arab Saudi Mula Membeku Setelah Dilanda Salji Tebal, Suhu Turun di Bawah 0 Darjah Celcius

TRAVEL
January 04, 2022 - 10:59 AM


Jika korang berada di Arab Saudi sekarang dan bercadang untuk melawat sekitar utara Arab Saudi seeloknya batalkan sahaja niat itu. Ini kerana beberapa tempat di sana mula membeku setelah dilanda salji yang begitu tebal. Beberapa jalan untuk ke sana juga berkemungkinan akan ditutup. 

Menerusi laporan The National News, orang ramai dipercayai telah berpusu-pusu ke Jebel Al Lawz sejak Sabtu apabila salji mula turun di kebanyakan kawasan.

Keadaan cuaca yang melampau juga telah menyebabkan beberapa jalan menuju ke kawasan itu ditutup selepas beribu-ribu penduduk dan pelawat tiba untuk menikmati pemandangan.

Jebel Al Lawz ialah sebuah gunung di barat laut Arab Saudi berhampiran sempadan Jordan di wilayah Tabuk iaitu kira-kira 200 kilometer barat laut bandar Tabuk.

Sementara itu, salji juga mula melanda kawasan pergunungan Al Dhahr dan Alqan pada Ahad dengan suhu turun di bawah 0 darjah celcius.

Susulan itu, pihak Pertahanan Awam Arab Saudi menggesa pelawat dan penduduk Tabuk supaya berwaspada dalam keadaan jarak penglihatan yang rendah dan kemungkinan hujan lebat serta guruh dijangka berlarutan sehingga Isnin.

Pusat Meteorologi Kebangsaan Arab Saudi berkata ribut petir disertai hujan lebat dan hujan batu itu dijangka berlaku di Mekah, Al Bahah, Riyadh, Al Qassim dan kawasan lain di kerajaan itu.

Bagaimanapun, salji yang melanda di kawasan itu sememangnya sudah menjadi kebiasaan. Pada November 2021, suhu di Tabuk juga dicatatkan sehingga kira-kira 7 Celcius, menyebabkan beberapa kawasan diselimuti salji tebal.

Sumber: thenationalnews.com

Destination: