Bestnya, Memancing Sambil Bercuti Di Rumah Bot Kat Saratok Ni!

JALAN-JALAN
January 20, 2021 - 07:03 PM


Memandangkan hanya Sarawak buat masa ini satu-satunya negeri yang tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kecuali Bahagian Sibu, jadi adalah lebih baik jika kita bercerita tentang port percutian yang best di Bumi Kenyalang itu.

Bagi korang yang suka memancing sambil bercuti bersama keluarga atau rakan-rakan, mungkin korang boleh memilih untuk menginap di rumah bot ‘Perauk Sewa’ di daerah Saratok.

Rumah bot yang dibina oleh nelayan Muhd Izuandie Jamali, 31 tahun dari Kampung Melango Lama boleh disewa bagi mereka yang ingin menelusuri sepanjang sungai dari Kampung Kupang, Kampung Lubuk Tanah hingga ke Kampung Gembus.

Muhd Izuandie berkata rumah bot itu menyediakan kemudahan selesa untuk maksimum 6 orang pada satu-satu masa seperti tilam bersaiz ‘queen’, televisyen panel rata, dapur mini, tandas dan dek luar -- malah penumpang juga boleh tidur di dek tertutup sambil menelusuri sungai.

Rumah bot itu turut dilengkapi dengan kemudahan dan peralatan keselamatan asas seperti jaket keselamatan selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan melakukan pemeriksaan suhu penumpang serta menyediakan sewaan peralatan memancing.

Beliau berkata idea untuk membina rumah bot berukuran 34 kaki panjang itu muncul kira-kira tiga bulan lepas apabila terlintas di fikirannya untuk menyediakan rumah bot dengan kemudahan penginapan buat kaki pancing.

“Saya berharap dapat menambah lebih banyak pendapatan bagi membantu keluarga dengan adanya rumah bot ini,” katanya dan menambah kos untuk membina rumah bot itu kira-kira RM25,000 menggunakan wang simpanannya.

Berikut merupakan kadar sewaan rumah bot ‘Perauk Sewa’:

⚓ 1 hari 1 malam (parking) = RM100

⛴️ ¹/² hari pakej bbq/raon2/bersantai (jalan) = RM120

⛴️ 1 hari (jalan) = RM200

⛴️ 1 hari 1 malam (jalan) = RM250

Bagi mendapatkan keterangan lanjut atau ingin membuat tempahan, korang boleh menghubungi Muhd Izuandie di talian 016-866 3226.

Sumber: BERNAMA

Destination: 
Artikel berkaitan