Bestnya, Menara Eiffel Kembali Dibuka Pada 16 Julai Depan!
TRAVELDalam pada kita semua di Malaysia sedang dikenakan dengan 'Total Lockdown' yang mungkin bersambung untuk beberapa fasa lagi dan perlu mengenakan 'double mask' -- namun lain ceritanya dengan negara luar lain.
Seperti contoh di Paris, Perancis -- menara ikonik pelancongannya yang terkenal seantero dunia iaitu Menara Eiffel akan dibuka semula untuk kunjungan orang ramai pada 16 Julai depan, selepas beberapa bulan ditutup ekoran pandemik Covid-19.
Menurut laporan AFP yang memetik sumber pihak pengurusan Menara Eiffel bagaimanapun berkata jumlah pengunjung bakal dihadkan kepada 10,000 sehari demi memastikan penjarakan fizikal dapat dilakukan dalam usaha mengekang penularan wabak itu.
"Setelah beberapa bulan ditutup, pihak pengurusan tidak sabar menanti kedatangan pengunjung dan bagi menjamin keselamatan pelawat, kami mengamalkan protokol ketat," kata Presiden Menara Eiffel, Sete Jean-Francois Martins.
Pesanan tiket secara dalam talian juga dibuka bermula 1 Jun 2021.
Menara Eiffel yang dibina pada 1889, biasanya menerima tujuh juta pengunjung setiap tahun atau tiga perempat daripadanya adalah pelancong dari luar negara.
Namun sejak pandemik, pihak pengurusan menara itu mengalami kerugian 70 juta Euro pada 2021 manakala 52 juta Euro tahun lalu.
Perancis pada awal bulan lalu melonggarkan sekatan terhadap rakyatnya selepas mengamalkan kawalan pergerakan selama enam bulan.
Malah kafe dan restoran sudah boleh menerima kedatangan pelanggan dan makan di premis selain pihak kerajaan negara itu merancang untuk membuka kembali ekonomi sepenuhnya menjelang akhir Jun.
Untuk rekod, muzium, panggung wayang, teater juga akan kembali dibuka selepas ditutup selama 203 hari. Pihak Disneyland Paris pula akan membuka pintu taman tema itu kepada pengunjung pada 17 Jun.
Sumber: Mstar