Dah Lama Tak Upload Gambar Best Kat Instagram? Jom OOTD Kat 6 'Street Art' Yang Insta-Worthy Di Selangor Ni!

TRAVEL
November 16, 2020 - 04:29 PM


Boleh dikatakan seluruh negeri di Malaysia mempunyai 'Street Art' atau dipanggil seni lukisan dinding yang menghiasi bandar-bandar mereka tersendiri sebagai tarikan pelancongan masing-masing.

Tidak ketinggalan adalah Negeri Selangor iaitu negeri termaju di negara ini yang mempunyai 6 'Street Art' yang kreatif dan menarik dengan lukisan 3D serta sangat cantik untuk dijadikan latarbelakang OOTD kepada mereka yang gemar bergambar Instagram.

Apa-apa pun jika anda ingin bergambar di Street Art di sekitar Selangor ketika ini ingat untuk menjaga penjarakkan fizikal dan sosial sepanjang masa serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan bagi mengelakkan sebarang jangkitan virus COVID-19.

Jom kita usha 6 lokasi 'Street Art' yang 'Insta-Worthy' untuk korang jalan-jalan nanti :-

1. LAMAN SENI 7, SEKSYEN 7 SHAH ALAM

Laman Seni 7 merupakan sambungan daripada Laman Seni 2 di Seksyen 7, Shah Alam, berdekatan dengan i-City di mana ia merupakan tempat atau zon yang kreatif dan cantik yang diwujudkan bertujuan untuk penghayatan bidang seni lukis dan kreatif.

Kawasan ini adalah hasil daripada inisiatif Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk mengubah lorong belakang kawasan komersial dan perindustrian menjadi selamat, bersih dan tenang. Pelbagai hasil seni yang dilukis seperti Lukisan 3D, Pemasangan 3D, Perabot Jalan dan lain lain lagi.

Laman Seni 7 ini berkonsepkan ciri-ciri “Komuniti Shah Alam”, “Tarikan Pelancong” dan juga “Konsep Hijau”.

2. LAMAN SENI 2, SEKSYEN 2 SHAH ALAM

Laman Seni Seksyen 2 ini merupakan titik permulaan terjadinya kawasan mural di Shah Alam yang kemudiannya ditukarkan ke Laman Seni 7.

Tema untuk karya seni di tempat ini adalah 'kembali ke sekolah'. Bersedia untuk mengimbau suasana nostalgia di mana anda akan melihat bilik tergantung, bas sekolah, lukisan haiwan dan lain-lain lagi. Bukan hanya itu, terdapat juga medan selera di mana anda boleh berehat setelah bergambar di lokasi lukisan mural.

3. SAFARI JEJAK WARISAN, KLANG

Jika ke Bandar Diraja Klang, adalah wajib untuk singgah ke bandar lama Klang yang mana terdapat kedai yang menjual pelbagai barangan untuk masyarakat India, malah anda juga boleh singgah untuk mengambil gambar lukisan mural yang menarik dan bertemakan “Safari” sepanjang lorong-lorong belakang kedai di bandar lama Klang.

Kawasan mural ini telah dirasmikan oleh Datuk Zainal Abidin Abu Hassan pada 5 Jun 2020 dimana anda akan terpesona dengan hasil lukisan bertemakan haiwan ibarat berada dalam safari sebenar.

4. SASARAN ART, KUALA SELANGOR

Sejak tahun 2008, Organisasi Sasaran Art telah menganjurkan festival seni berskala besar setiap tiga tahun bagi memberi pendedahan tentang lukisan jalanan. Selain itu, dengan sokongan Kerajaan Negeri Selangor, pembinaan bangunan dua tingkat telah dijadikan sebagai sebuah pusat galeri seni yang dinamakan “Balai Seni Sasaran Kuala Selangor”.

Ianya berfungsi sebagai pusat seni, festival ataupun pameran tempatan dan antarabangsa dalam mempromosikan aktiviti kesenian dan kebudayaan.

5. MURAL JALAN KENARI, PUCHONG

Kawasan mural ini terletak di Jalan Kenari 5, Puchong ini dihiasi dengan pelbagai lukisan mural di sepanjang jalan keluar. Karya seni lukisan mural ini telah dilukis hasil oleh 103 orang pelajar tahun akhir dari The One Academy, Subang Jaya dan juga dari Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik yang mengambil masa selama enam hari.

Hasil lukisan mereka menggambarkan kecantikan dan elemen budaya Malaysia berdasarkan tema Negeri Selangor dan keunikan negara ini.

6. KUALA KUBU BHARU MURAL (KKB), HULU SELANGOR

Kuala Kubu Bharu (KKB) terlelak lebih kurang 70 kilometer dari Kuala Lumpur dan bandar ini terkenal dengan tarikan aktiviti semula jadi seperti water tubing dan white water rafting.

Tetapi bukan itu sahaja, terdapat juga kawasan seni jalanan di mana karya seni dilukis di dinding bangunan lama kawasan KKB. Lapan lukisan mural di KKB ini juga telah dilukis oleh 40 pelajar dan staf dari ALFA College pada 2014 yang menggambarkan kehidupan bandar di KKB.

Sumber: Mstar & Tourism Selangor 

Destination: