Hanya Ada 2 Di Dunia, Ini Tips Memburu 'Blue Fire' Di Gunung Ijen!
Korang tahu tak di dunia ini hanya ada 2 sahaja lokasi di mana kita boleh melihat pancaran cahaya menakjubkan berwarna biru dari dalam gunung, iaitu satu di Iceland dan satu lagi di negara jiran, Indonesia.
Kalau nak ke Iceland tu mungkin kena menabung lama lagi, tapi rasanya elok kita ke Indonesiasahaja yang dah tentu-tentu kosnya pun lebih murah.
Jika di Indonesia fenomena ini boleh dilihat di gunung berapi Kawah Ijen di wilayah Banyuwangi, Jawa Timur atau di kalangan pelancong lebih dikenali sebagai Gunung Ijen.
Di gunung ini, cahaya biru atau ‘blue fire’ yang dipancarkan adalah sehingga 4.8 meter tinggi ke udara dalam pelbagai bentuk.
Menurut pakar, cahaya biru itu bukan berasal daripada lahar gunung berapi yang mempunyai warna sama seperti gunung berapi lain, namun cahaya tersebut adalah daripada gas yang dikeluarkan oleh gunung terbabit.
Kawah Ijen mengandungi gas sulfur yang tertinggi di dunia dan apabila terdedah kepada oksigen di udara serta bertembung dengan lahar akan memancarkan cahaya biru.
Fenomena menakjubkan ini membuatkan Gunung Ijen menjadi destinasi buruan pelancong dan pendaki gunung dari seluruh dunia.
Kalau korang pun berminat nak tengok cahaya biru ini, berikut ada beberapa tips dan petua yang boleh diikuti sebelum mendaki Gunung Ijen.
1. Mula Mendaki Tengah Malam
Masa terbaik untuk melihat cahaya biru adalah pada tengah malam kerana apabila langit gelap, warna biru akan lebih jelas kelihatan.
Korang disarankan untuk mula berangkat sekitar pukul 1 pagi dan mungkin mengambil masa kira-kira 2 jam untuk sampai ke lokasi di mana berlakunya cahaya biru yang paling kerap dilihat.
Cahaya kebiruan akan jelas kelihatan hanya antara pukul 3 dan 4 pagi.
Cahaya tersebut akan semakin berkurangan dalam pukul 5 pagi jadi pastikan korang jangan terlambat dan terlepas peluang keemasan tu ya!
2. Pergi Ketika Musim Kemarau
Semasa musim hujan, cahaya biru Gunung Ijen lemah sementara di musim kemarau cahayanya lebih besar dan jelas kelihatan.
Musim kering, antara bulan Julai dan September adalah masa terbaik untuk memanjat Gunung Ijen.
Laluan gunung juga akan menjadi lebih kering, berpasir, tidak licin dan selamat untuk dilalui pendaki.
3. Bersedia Dari Segi Fizikal
Walaupun Gunung Ijen terkenal sebagai gunung untuk pelancong dan tidak setinggi mana, namun pendakiannya masih memerlukan kita untuk sentiasa bersedia dari segi fizikal dan kecergasan diri.
Oleh itu, sebelum ke sana lebih elok sekiranya korang mula bersenam dan melakukan aktiviti fizikal sebagai persediaan.
4. Sediakan Peralatan Terbaik
Untuk menyaksikan cahaya biru di Gunung Ijen, para pengunjung digalakkan membawa beberapa peralatan yang sesuai untuk kelancaran pendakian seperti lampu suluh, jaket tebal (untuk elak angin sejuk di atas gunung), sarung tangan dan kasut yang tahan lasak.
Bagi korang yang sukakan bergambar, jangan lupa bawa kamera dan kelengkapan lain seperti tripod untuk merakam saat-saat pancaran cahaya biru. Mesti ‘wow’ sangat gambar nanti!
Tapi benda yang paling penting korang jangan lupa bawa ialah topeng pernafasan sebab debu Gunung Ijen bertaburan di udara dan gas sulfur semakin kuat apabila mendekati puncak.
Jadi tipsnya korang disarankan untuk melembapkan topeng tersebut dengan sedikit air bagi mengurangkan bau debu dan sulfur yang dihidu.
5. Elakkan Musim Cuti
Jangan terkejut sekiranya Gunung Ijen penuh sesak dengan pelancong tempatan dan asing kerana namanya memang dah terkenal di seluruh dunia.
Tempat ini selalu saja penuh sepanjang hari, terutama semasa musim cuti. Jadi adalah lebih baik kalau korang pergi bukan masa ‘peak season’ untuk pastikan korang dapat pengalaman yang lebih menyeronokkan.