Hotel Paling Tua Di Dunia, Ada Yang Diwarisi Hingga 52 Generasi!

August 14, 2019 - 05:56 PM


Setiap kali kita melancong, hotel atau bilik penginapan antara perkara penting yang mesti ditempah sebelum berangkat ke sesebuah destinasi percutian.

Pemilihan hotel pula berbeza mengikut citarasa masing-masing dan jika anda seorang yang gemarkan penginapan yang mempunyai nilai estetika unik dan ciri-ciri warisan sejarah lama, mungkin 5 hotel tertua di dunia ini boleh anda pilih jika berkunjung ke luar negara.

Berikut senarai hotel paling lama dibina di dunia dan masih bertahan hingga ke hari ini. Malah ada antaranya yang telah diwarisi dan diuruskan sehingga 52 generasi pemiliknya! 

1. Nishiyama Onsen Keiunkan, Jepun

Nishiyama Onsen Keiunkan adalah hotel yang terkenal dengan sumber air panasnya yang tidak pernah surut atau kering yang terletak di Hayakawa, Yamanashi, Jepun.

Nishiyama Onsen Keiunkan yang sudah ada sejak tahun 705 Masihi ini antara hotel tertua di dunia dan telah diuruskan oleh 52 generasi keturunan pemiliknya.

Meskipun usia hotel tersebut telah berabad lamanya, namun ia masih mengekalkan gaya dan rekaan dalaman asal.

Harga semalam untuk hotel ini adalah sekitar RM2,180.

 

2. The Olde Bell, UK

The Olde Bell adalah hotel yang terletak di Hurley, Berkshire, United Kingdom iaitu betul-betul di tepi Sungai Thames.

Pada mulanya hotel tersebut dibangunkan sebagai asrama atau rumah tamu bagi para pengunjung ke Benedictine Priory sekitar tahun 1135.

Selama ratusan tahun, apabila Sanctus Bell dibunyikan ia memberi isyarat bahawa seorang pengunjung penting telah tiba di desa tersebut.

Namun kini, Sanctus Bell masih lagi tergantung di atas pintu The Olde Bell sebagai tanda menyambut para pelancong yang datang menginap ke hotel berkenaan.

Harga untuk 1 malam di The Olde Bell adalah RM379.

 

3. Orso Grigio, Itali

Hotel Orso Grigio, Pescul, Itali ini dibina pada tahun 1300. 

Penginapan bertaraf 4 bintang ini menawarkan suasana kemeriahan pasar di San Candido selama berabad-abad lamanya.

Hotel itu juga sering menjadi pilihan tetamu yang gemar dengan pemandangan memukau pergunungan indah dari tingkap bilik hotel mereka.

Harga semalam di Hotel Orso Grigio ini adalah antara RM544 dan RM1,755.

 

4. Gastagwirt, Austria

Hotel Gastagwirt di Desa Eugendorf ini merupakan penginapan tertua di Austria yang dibina pada tahun1380.

Gastagwirt pada mulanya adalah sebuah tempat istirehat bagi para pengembara.

Namun, ia dibangunkan menjadi sebuah hotel yang menawarkan suasana tenang dan damai serta menghidangkan makanan tradisional masyarakat Austria seperti wiener schnitzel dan orientalische schnitzel.

Harga untuk satu malam di hotel ini adalah RM726.

 

5. Pilgrim Haus, Jerman

Seperti namanya, Pilgrim Haus pada zaman dahulu adalah sebuah penginapan yang digunakan oleh para penziarah tempat suci di Jerman.

Hotel ini dibina pada tahun 1304. Kini, Pilgrim Haus berfungsi sebagai monumen dan hotel tradisional di Soest.

Jika anda menginap di hotel ini, suasana tenang dan mendamaikan akan dapat anda rasai di sini.

Harga semalam di Pilgrim Haus adalah RM417.

Sumber: THE TRAVEL