Jambatan Pulau Poh, Tasik Kenyir - Tarikan Terbaharu Jika Bercuti Ke Terengganu

TRAVEL
February 26, 2021 - 02:30 PM


Ramai antara rakyat Malaysia yang suka memilih Terengganu sebagai destinasi percutian mereka, memandangkan negeri tersebut kaya dan terkenal dengan keindahan pulau serta tarikan alam semulajadinya.

Jika selepas ini kita semua dibenarkan untuk merentas negeri apabila tamat PKP dan PKPB, bagi korang yang dah merancang nak melancong ke Terengganu -- jangan lupa singgah ke satu lagi tarikan pelancongan terbaharu mereka iaitu jambatan ikonik di Pulau Poh, Tasik Kenyir atau lebih popular dengan panggilan 'Jambatan Pulau Poh'.

Jambatan ini dijangka siap sepenuhnya menjelang bulan Mei depan.

Uniknya Jambatan Pulau Poh ini jika dilihat dari segi struktur binaan dan reka bentuknya, ia sebenarnya bermotifkan seakan kepala bangau.

Jambatan itu dibina berkonsepkan kabel tetap dengan empat lorong sepanjang 133 meter yang menelan kos pembinaan sebanyak RM107 juta.

Pembinaan jambatan ikonik tersebut merupakan sebahagian daripada komponen projek pembangunan pusat bebas cukai di Tasik Kenyir yang kini hampir 100 peratus siap.

Pembangunan itu antaranya melibatkan pembinaan terminal utama jeti penumpang, jeti kargo, pembinaan kawasan rehat dan rawat, tempat letak kenderaan, pembinaan sistem perparitan, keperluan pengurusan pengawalan alam sekitar, kemudahan sistem rawatan kumbahan dan hotel 150 bilik bertaraf tiga bintang.

Dengan pembukaan Jambatan Pulau Poh itu diharap dapat membantu melonjakkan semula industri pelancongan di Terengganu, lebih-lebih lagi selepas kerugian teruk yang dialami akibat penularan pandemik Covid-19.

Destination: